- Iklan -
Berita

Wakil rakyat Sarawak gesa pembangunan luar bandar lebih baik bawah RMK12

Ahli Parlimen Santubong Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata ini adalah 'janji yang tidak diucapkan' kepada Sabah dan Sarawak setelah bergabung dengan Malaysia.

Nur Shazreena Ali
2 minit bacaan
Kongsi
Ahli-ahli Parlimen Sarawak berkata masih ramai rakayat negeri itu tinggal di kawasan pedalaman dan memerlukan bantuan kerajaan.
Ahli-ahli Parlimen Sarawak berkata masih ramai rakayat negeri itu tinggal di kawasan pedalaman dan memerlukan bantuan kerajaan.

Ahli-ahli Parlimen Sarawak menyambut baik rancangan tindakan pembangunan dalam pelan ekonomi kerajaan bagi lima tahun akan datang namun mendesak Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob untuk menumpukan inisiatif bagi membantu kawasan pedalaman di negeri itu.

Bercakap kepada MalaysiaNow, mereka menyuarakan harapan supaya dana awam dari Putrajaya disalurkan kepada pembangunan kawasan luar bandar untuk mengekalkan momentum kerajaan hari ini walaupun terdapat ketidakpastian politik.

Ahli Parlimen Santubong Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata lebih banyak peruntukan untuk projek infrastruktur harus diberikan kepada Sarawak, terutama bagi kawasan luar bandar.

Katanya, tumpuan harus diberikan kepada peningkatan sistem perhubungan, komunikasi, bekalan elektrik dan pendidikan selain penjagaan kesihatan bagi memastikan tiada yang ketinggalan.

“Rakyat Sarawak dan Sabah sudah lama menantikan pembangunan yang serupa dengan di semenanjung,” katanya.

Ahli Parlimen Puncak Borneo Willie Mongin juga turut bersetuju, mengatakan m dasar-dasar kerajaan melalui RMK12 harus dijalankan dengan tegas bagi memastikan semua kumpulan sosial dapat memperolehi manfaat.

“Terdapat beberapa pelan tindakan pembangunan yang terperinci untuk membuat perubahan yang signifikan di Sabah dan Sarawak,” katanya.

“Ia bertujuan untuk memberikan hasil yang jelas dan memastikan kesan mampan terhadap potensi ekonomi Sarawak, pertumbuhan hijau, pelaburan infrastruktur, transformasi digital, perhubungan, peningkatan akses kepada keperluan asas dan banyak lagi.”

Beliau menyambut baik rancangan tindakan pembangunan yang komprehensif daripada kerajaan walaupun wabak yang melanda memberi impak kepada semua pihak termasuk kerajaan pusat.

“Semua orang bersatu untuk berjuang – sebagai satu kesatuan,” katanya.

“Sekiranya beberapa rancangan diabaikan, rancangan yang lain akan jadi kurang efektif, kerana agenda ekonomi bagi kemakmuran negara yang berpotensi tinggi tidak dapat dijalankan secara maksimum.”

Wan Junaidi, yang merupakan menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab terhadap portfolio undang-undang dan Parlimen turut menggesa Ismail membantu merangsang agenda transformasi dalam kerajaan dan Parlimen bagi menyelesaikan isu-isu berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Inilah kebenaran pahit yang kita hadapi: lebih dari 40% rakyat di Borneo masih tinggal di kawasan luar bandar, kurang kemudahan asas dan infrastruktur.

“Ini adalah ‘janji yang tidak diucapkan’ kepada rakyat Sarawak dan Sabah setelah bergabung dengan Malaysia – mereka juga sepatutnya dapat menikmati status pembangunan yang serupa,” katanya.