Wednesday, October 27, 2021

LKAN 2019 siri 2 laksana 17 pengauditan prestasi libat 13 kementerian

Pengauditan turut melibatkan jabatan dan agensi persekutuan dan negeri.

Other News

Sebanyak 17 pengauditan prestasi bernilai RM90.635 bilion dilaksanakan sempena Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2019 Siri 2 melibatkan program, aktiviti dan projek di 13 kementerian dan 62 syor dikemukakan terhadap aktiviti kementerian, jabatan dan agensi Persekutuan bagi membolehkan tindakan pembetulan dan penambahbaikan diambil.

Jabatan Audit Negara (JAN) juga telah menjalankan pengauditan prestasi terhadap 21 program, aktiviti dan projek yang melibatkan 26 jabatan dan 10 agensi kerajaan negeri serta 11 pengauditan pengurusan syarikat kerajaan negeri bagi laporan itu.

Ketua Audit Negara Nik Azman Nik Abdul Majid dalam kenyataan mengenai LKAN 2019 Siri 2 itu berkata sebanyak 130 syor telah dikemukakan iaitu 88 syor untuk dipertimbangkan pelaksanaannya oleh jabatan dan agensi negeri serta 42 syor oleh syarikat kerajaan negeri yang berkenaan untuk membolehkan tindakan pembetulan dan penambahbaikan diambil.

LKAN 2019 Siri 2 yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini terdiri daripada 15 naskhah yang melibatkan LKAN Tahun 2019 Siri 2 mengenai Aktiviti Kementerian, Jabatan Kerajaan Persekutuan dan Badan-Badan Berkanun Persekutuan; LKAN Tahun 2019 Siri 2 mengenai Pengurusan Syarikat Kerajaan Persekutuan serta 13 naskhah LKAN peringkat negeri iaitu LKAN Tahun 2019 Siri 2 bagi Aktiviti Jabatan, Agensi dan Pengurusan Syarikat Kerajaan Negeri.

Azman berkata pengauditan prestasi dijalankan selaras dengan Seksyen 6 (d), Akta Audit 1957 serta berpandukan kepada piawaian pengauditan antarabangsa yang dikeluarkan oleh The International Organisation of Supreme Audit Institutions (Intosai).

Pengauditan prestasi yang dijalankan bertujuan untuk menilai sama ada aktiviti, projek dan program kerajaan dilaksanakan dengan berhemat, cekap dan berkesan serta sejauh mana objektif aktiviti dan projek tersebut telah tercapai, katanya.

“Ia juga bertujuan untuk menilai sejauh mana wang awam telah dibelanjakan dengan berhemat, cekap dan berkesan tanpa berlaku pemborosan dan pembaziran serta mendapat nilai terbaik untuk wang,” katanya.

Mengenai 17 pengauditan prestasi di kementerian, beliau berkata sebanyak tujuh pengauditan melibatkan kategori program dan aktiviti, lima melibatkan kategori projek, tiga sistem atau teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan satu pengauditan masing-masing untuk kategori perolehan dan penyelenggaraan.

Azman berkata secara keseluruhannya, pelaksanaan aktiviti, projek dan program kerajaan Persekutuan telah dilaksanakan mengikut objektif yang ditetapkan.

Bagaimanapun, beliau berkata masih terdapat isu ketidakcekapan dan ketidakakuran serta kelemahan dalam pengurusan aktiviti, projek dan program yang menjejaskan kecekapan dan keberkesanannya untuk menghasilkan output, keberhasilan dan impak seperti yang diharapkan.

Azman berkata LKAN 2019 Siri 2 Mengenai Pengurusan Syarikat Kerajaan Persekutuan mengandungi hasil pengauditan terhadap tujuh syarikat kerajaan persekutuan.

Beliau berkata secara keseluruhannya, lima syarikat telah mencapai objektif penubuhan syarikat manakala dua syarikat masih belum mencapai objektif penubuhan sepenuhnya.

“Bagi amalan tadbir urus korporat yang baik, satu syarikat di tahap yang baik, lima syarikat di tahap memuaskan dan satu syarikat kurang memuaskan.

“Bagi penilaian terhadap kedudukan kewangan, lima syarikat berada pada tahap stabil manakala dua syarikat menunjukkan kedudukan kewangan yang kurang stabil,” katanya.

Beliau berkata sebanyak 41 syor telah dikemukakan kepada pihak pengurusan syarikat berkenaan untuk dipertimbangkan pelaksanaannya bagi membolehkan tindakan pembetulan dan penambahbaikan diambil.

LKAN Mengenai Aktiviti Kementerian dan Jabatan Kerajaan Persekutuan dan Badan-badan Berkanun Persekutuan bagi 2019 Siri 2 dan LKAN 2019 Siri 2 mengenai Pengurusan Syarikat Kerajaan Persekutuan akan dimuat naik di Laman Web Jabatan Audit Negara selepas pembentangannya di Dewan Rakyat.

Orang awam boleh melayarinya di http://www.audit.gov.my.

LKAN peringkat negeri pula hanya akan dimuat naik di laman web Jabatan Audit Negara selepas pembentangannya di Dewan Undangan Negeri masing-masing.

Isu-isu LKAN 2019 Siri 2 juga akan dimuat naik di Portal Auditor General’s Dashboard (AGD) selepas dibentangkan pagi ini.

Sementara itu, Nik Azman berkata LKAN 2019 Siri 2 dijadual dibentangkan di Dewan Rakyat pada Mac lepas, namun tidak dapat dibentangkan setelah sidang Dewan Rakyat tidak dapat diadakan seperti jadual asal berikutan Pengisytiharan Darurat pada 12 Jan lepas.

“Walaupun terdapat kelewatan dalam pembentangannya di Dewan Rakyat, namun nilai penemuan audit yang dilaporkan dalam LKAN berkenaan masih relevan dalam menambah baik pengurusan aktiviti, projek dan program oleh kementerian, jabatan, agensi dan syarikat Kerajaan Persekutuan dan negeri,” katanya.

JAN juga telah menambah baik persembahan LKAN pada kali ini dengan menyediakan Ringkasan Penemuan Audit secara infografik bagi merumuskan hasil pengauditan secara keseluruhannya.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles