Sunday, October 17, 2021

Korea Utara lancar tembakan tidak dikenali, kecam ‘dasar permusuhan’ AS

Kementerian pertahanan Jepun berkata ia dilihat sebagai peluru berpandu balistik.

Other News

Korea Utara melepaskan tembakan yang tidak dapat dikenal pasti melepasi perairannya pada hari Selasa, kata tentera Korea Selatan ketika Pyongyang menggesa Amerika Syarikat (AS) dan Korea Selatan membatalkan “dasar permusuhan” mereka.

Bagaimanapun, tentera Korea Selatan tidak memberikan perincian lebih lanjut mengenai kejadian tersebut, namun kementerian pertahanan Jepun mengatakan tembakan dari Korea Utara itu seperti peluru berpandu balistik.

Pengumuman Korea Selatan tersebut dilakukan sebelum duta Korea Utara ke PBB mendesak AS untuk membatalkan dasar permusuhan terhadap Pyongyang, mengatakan tidak ada negara yang dapat menafikan haknya untuk mempertahankan wilayah dan menguji senjata.

Korea Utara menuduh Seoul dan Washington mengamalkan prinsip “tidak adil,” mengatakan kedua-dua negara itu mengecam pembangunan senjata dalam negaranya namun meneruskan aktiviti ketenteraan mereka sendiri.

Pada 15 September, Korea Utara dan Korea Selatan menguji peluru berpandu balistik yang jelas menunjukkan persaingan senjata antara kedua-dua negara selain cuba menyatakan kedua-dua pihak telah membangunkan senjata yang semakin canggih.

Dalam pada itu, Washington mengecam ujian senjata Korea Utara yang disifatkan pakar sebagai ujian peledak nuklear daripada peluru berpandu.

Washington berkata perbuatan Korea Utara itu adalah ancaman kepada negara jirannya.

Namun ia tidak menyatakan kecaman terhadap ujian peluru berpandu balistik kapal selam (SLBM) yang dilancarkan Seoul.

Sejak kecaman Washington dikeluarkan, Korea Utara telah mengeluarkan beberapa kenyataan yang mengatakan pihaknya bersedia untuk memulakan semula rundingan rentas Korea yang terhenti dan mempertimbangkan sebuah lagi sidang kemuncak bersama jika Korea Selatan membatalkan dasar permusuhannya terhadap Korea Utara.

Komando Pasifik AS dan Jabatan Negara AS bagaimanapun tidak segera mengeluarkan kenyataan terhadap kesediaan Korea Utara tersebut.

Pada Perhimpunan Agung PBB, wakil Korea Utara, Kim Song berkata bahawa negara itu hanya mempertahankan diri dan jika AS membatalkan dasar permusuhannya, negara itu akan “dengan sukarela ” menerima tawaran rundingan.

“Namun, menurut penilaian kami, setakat ini tidak ada tanda AS akan benar-benar menarik balik dasar permusuhannya,” kata Kim.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles