Saturday, October 23, 2021

Gelembung pelancongan di Pulau Tioman, Genting Highlands ditangguh

Gelembung pelancongan yang dijadualkan 1 Oktober sebelum ini akan ditangguhkan ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Other News

Gelembung pelancongan domestik di Pulau Tioman dan Genting Highlands yang dilaporkan dibuka pada 1 Oktober ditangguhkan ke satu tarikh akan dimaklumkan kelak, kata Pengurus Besar Tourism Pahang Kamaruddin Ibrahim.

Beliau berkata ia susulan kenyataan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob yang memaklumkan pembukaan pusat, pulau dan kawasan pelancongan, serta aktiviti rentas negeri hanya apabila kadar vaksinasi negara mencapai 90% populasi dewasa.

Sehubungan itu, katanya hanya penduduk Pahang sahaja dibenarkan berkunjung ke destinasi pelancongan di negeri ini dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ketat yang ditetapkan.

“Bagi pelancong luar yang sudah membuat tempahan kami minta mereka hubungi pengusaha pelancongan masing-masing untuk tindakan lanjut, sama ada tangguh atau sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas meninjau pelaksanaan SOP Pulau Tioman di pintu masuk utama Terminal Feri Jeti Teluk Gading (dahulunya Tanjung Gemok) hari ini.

Media sebelum ini melaporkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) mencadangkan selepas Pulau Langkawi, Kedah, tiga lagi destinasi akan dibuka kepada pelancong menerusi gelembung pelancongan domestik iaitu Genting Highlands, Pulau Tioman dan Melaka.

Mengenai pelaksanaan SOP di Pulau Tioman, Kamaruddin berkata antara SOP yang dikenakan ialah pengunjung mesti lengkap dua dos vaksin dan mengemukakan keputusan ujian saringan Covid-19 masing-masing sebelum menaiki feri.

Beliau berkata sekiranya pengunjung membuat saringan kendiri mereka boleh membeli kit ujian kendiri di jeti atau di tempat lain, namun ujian mesti dilakukan di terminal jeti.

“Bagi individu yang melakukan ujian di klinik, mereka perlu membawa surat keputusan ujian untuk diperiksa terlebih dahulu sebelum dibenarkan menaiki feri.

“Dengan melakukan ujian saringan, ia turut memberi keyakinan kepada pengusaha pelancongan menerima pengunjung di lokasi mereka,” katanya.

Dalam pada itu, selaras dengan peralihan Pahang ke Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN), beliau mengharapkan penduduk negeri ini kembali membantu merancakkan sektor pelancongan yang terjejas sekian lama akibat Covid-19.

“Selepas beralih ke Fasa Tiga, banyak aktiviti dilonggarkan malah rentas daerah juga dibenarkan dan saya berharap lebih ramai yang berkunjung ke lokasi menarik di negeri ini seperti Janda Baik, Taman Negeri Rompin dan sebagainya,” katanya.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles