- Iklan -
Berita

Kerajaan akan bina institut penyakit berjangkit tahun depan, kata PM

Penubuhan institut itu bertujuan mencegah penyakit, ketidakupayaan dan kematian yang disebabkan oleh penyakit-penyakit berjangkit.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob menunjukkan pek dokumen  RMK12 dalam sidang Dewan Rakyat hari ini. Gambar: Bernama
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob menunjukkan pek dokumen RMK12 dalam sidang Dewan Rakyat hari ini. Gambar: Bernama

Sebuah Institut Penyakit Berjangkit Malaysia akan dibina di Bandar Enstek, Negeri Sembilan pada tahun depan menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Ketika membentangkan RMK12 di Dewan Rakyat hari ini, beliau berkata penubuhan institut itu bertujuan mencegah penyakit, ketidakupayaan dan kematian yang disebabkan oleh penyakit-penyakit berjangkit.

“Kerajaan juga akan mengkaji semula keberkesanan sistem kesihatan sedia ada, dan dasar kesihatan negara akan dirangka bagi meningkatkan kesiapsiagaan mengurus penyakit berjangkit serta krisis kesihatan,” katanya.

Beliau berkata Pelan Hala Tuju Pembangunan Vaksin Negara sedang dimuktamadkan bagi memastikan Malaysia mampu menghasilkan vaksin sendiri, di samping sebagai persediaan menghadapi sebarang pandemik pada masa akan datang.

“Dalam situasi pandemik Covid-19, rakyat menaruh harapan yang tinggi kepada kerajaan dan kerajaan akan sentiasa mencari jalan yang terbaik memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia dalam pelbagai aspek, terutama penjagaan kesihatan dan penyediaan kediaman yang berkualiti.

“Kerajaan kekal komited bagi memperkukuh sistem penjagaan kesihatan demi memastikan rakyat sihat dan produktif,” katanya.

Dalam pada itu, perdana menteri memgumumkan kerajaan juga telah mengenal pasti langkah proaktif meningkatkan kesiapsiagaan hospital untuk mencapai nisbah 2.06 katil hospital bagi setiap seribu penduduk menjelang tahun 2025.

Bagi tujuan itu, kerajaan akan turut membangunkan fasiliti kesihatan baharu, sebagai tambahan kepada 12 hospital yang sedang dibina di seluruh negara dan dijangka siap dalam tempoh RMK12, katanya.

“Kelengkapan dan peralatan kesihatan, termasuk keperluan unit rawatan rapi (ICU) akan ditambah dan dalam usaha untuk merapatkan jurang perbezaan fasiliti kesihatan bandar dan luar bandar, kerajaan akan membina dan menaik taraf klinik-klinik kesihatan di seluruh negara,” katanya.