- Iklan -
Berita

Kebenaran rentas negeri dijangka bulan hadapan

Muhyiddin berkata soal pembukaan sempadan negara juga sedang diperhalusi kementerian berkaitan, dan akan dibincangkan bersama Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) Muhyiddin Yassin (dua, kanan) berbincang dengan Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Mohamed Azmin Ali (dua, kiri), Menteri Kanan Pendidikan, Radzi Jidin (kiri) dan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Aziz (kanan) selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pemulihan Negara di Kementerian Kewangan pada 27 September, 2021. Gambar: Bernama
Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) Muhyiddin Yassin (dua, kanan) berbincang dengan Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Mohamed Azmin Ali (dua, kiri), Menteri Kanan Pendidikan, Radzi Jidin (kiri) dan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Aziz (kanan) selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pemulihan Negara di Kementerian Kewangan pada 27 September, 2021. Gambar: Bernama

Kebenaran rentas negeri dijangka akan dapat dilakukan bulan hadapan (Oktober) bersandarkan kepada data selepas 90% populasi dewasa lengkap vaksinasi, kata Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) Muhyiddin Yassin.

“Kemungkinan pada Oktober sama ada pada peringkat awal atau selewat-lewatnya pertengahan,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat MPN Bilangan 3/2021 di Putrajaya hari ini.

Turut hadir pada mesyuarat itu ialah Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali, Menteri Kanan Pendidikan Radzi Jidin, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz dan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Muhyiddin berkata soal pembukaan sempadan negara juga sedang diperhalusi kementerian berkaitan, dan akan dibincangkan bersama Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

“Saya harap itu akan diumumkan tidak lama lagi,” katanya selain rentas daerah dan negeri, pembukaan sempadan negara juga penting untuk mempercepatkan proses pemulihan negara.

Beliau berkata perbincangan pembukaan sempadan negara merangkumi cadangan sempadan negara dibuka kepada pelancong, peniaga dan usahawan untuk datang ke Malaysia dan membolehkan rakyat Malaysia melancong ke negara yang menerima kedatangan mereka yang lengkap vaksinasi.

“Ini adalah salah satu keputusan yang akan membawa kesan besar kepada negara,” katanya.

Muhyiddin berkata mesyuarat MPN hari ini memberi fokus kepada persiapan bagi pembukaan semula sektor pelajaran.

Beliau berkata, MPN diberi penerangan terperinci mengenai laporan status terkini berkaitan Covid-19 oleh kementerian kesihatan, Pelan Pembukaan dan Pengoperasian Institut Pendidikan Tinggi Sesi Akademik 2021/2022 oleh kementerian pengajian tinggi dan Laporan Penilaian Pembukaan Sekolah oleh kementerian pendidikan.

“Mesyuarat mengambil maklum mengenai pembukaan institusi pendidikan tinggi (IPT) secara berperingkat bermula 15 Oktober dan pembukaan sekolah secara berperingkat bermula 3 Oktober serta SOP yang akan berkuatkuasa demi melindungi warga IPT dan warga sekolah dari jangkitan Covid-19,” katanya.

Muhyiddin berkata mesyuarat hari ini juga meluluskan kertas cadangan untuk menubuhkan Majlis Pemulihan Negeri, yang akan dipengerusikan oleh menteri besar dan ketua menteri.

Katanya Majlis Pemulihan Negeri berperanan untuk memastikan keputusan MPN dilaksanakan di peringkat negeri, memperaku strategi dan inisiatif pemulihan di peringkat negeri dan daerah, dan memantau impak pelaksanaan inisiatif pemulihan di peringkat negeri dan daerah.

Beliau berkata cadangan penubuhan Majlis Pemulihan Negeri dan mekanisme yang berkaitan akan dikemukakan kepada perdana menteri dan Jemaah Menteri untuk pertimbangan dan persetujuan.

Muhyiddin berkata MPN akan menumpukan kepada pemulihan negara secara menyeluruh melibatkan pelbagai sektor dan kumpulan terkesan.

“Tumpuan juga diberikan kepada bantuan yang boleh disediakan untuk perniagaan, usahawan mikro, kecil dan sederhana untuk bangkit dan meneruskan perniagaan, dan masalah kemiskinan pasca pandemik dalam kalangan penduduk bandar dan luar bandar,” katanya.