Thursday, October 21, 2021

Atlet pecut pemenang pingat emas paralimpik berdepan kesukaran tiada lesen memandu

Mohd Raduan Emeari sukar untuk bergerak kerana tidak memiliki lesen memandu.

Other News

Pada satu ketika, Mohd Raduan Emeari pernah mewakili negara di pentas sukan antarabangsa, bahkan pernah berdiri di atas podium menjadi tumpuan ramai kerana membawa pulang pingat emas bagi Malaysia.

Namun, hari ini, beliau menghadapi masalah untuk bergerak kerana tidak memiliki dokumen yang dianggap sebagai sebuah bentuk pengenalan diri bagi kebanyakan orang: lesen memandu.

Raduan pernah menjadi sebahagian daripada kumpulan atlet elit yang berjaya mengatasi kecacatan fizikal untuk menggapai impian bertanding di tahap profesional seperti orang lain.

Walaupun menderita cerebral palsy, Raduan berjaya menjadi atlet kebangsaan.

Beliau mewakili Malaysia dalam acara lari pecut 100m di temasya sukan antarabangsa termasuk menyertai Sukan Para Asean dan Paralimpik.

Namun keadaan fizikal yang dimilikinya kerana cerebral palsy menyukarkannya untuk menduduki sebarang ujian.

“Saya boleh baca, tetapi saya sukar memahami soalan bertulis yang panjang dan menggunakan komputer,” katanya semasa diwawancara MalaysiaNow.

“Inilah sebabnya mengapa saya tidak boleh mendapatkan lesen memandu, sedangkan saya betul-betul perlukannya.”

Mohd Raduan Emaeri kini bekerja sebagai pembantu pam stesen minyak selepas digugurkan dari Program Podium pada penghujung 2017 di Kuala Selangor.

Sejak bersara daripada sukan, Raduan bekerja sebagai atendan di sebuah stesen minyak di Kuala Selangor – sebuah realiti yang baru-baru ini menimbulkan kekecohan dalam kalangan ramai yang mempersoalkan bagaimana bekas atlet kebangsaan boleh berakhir dengan keadaan sedemikian.

Raduan juga bekerja secara sambilan sebagai penolong jurulatih di Majlis Sukan Negara (MSN), melatih atlet kurang upaya semuda usia 14 tahun.

Untuk bertugas sebagai pembantu jurulatih, Raduan mesti melakukan perjalanan dari rumahnya di Bukit Belimbing, Kuala Selangor ke Kampung Pandan atau Shah Alam.

Menurutnya, beliau memiliki motosikal namun kerana tidak memiliki lesen, maka terpaksalah mengambil bas untuk ke sana.

“Sukar untuk bergerak tanpa lesen memandu,” katanya.

“Tempat kerja saya jauh dari rumah. Jika waktu terdesak, saya risau saya mungkin ditangkap polis tetapi saya perlu cari duit untuk makan.”

Raduan bertanding dalam Sukan Para Asean dari 2005 hingga 2017, beliau memenangi lima pingat emas untuk Malaysia.

Aksi Raduan ketika meluangkan masa untuk bersenam dan berjoging bagi menjaga stamina walaupun tidak lagi bergelar atlet sukan.

Beliau juga bertanding di Sukan Para Guangzhou 2010 selain Sukan Asia Incheon 2014 serta Sukan Paralimpik 2008 di Beijing.

Pada 2016, beliau dimasukkan ke dalam Program Podium, sebuah bentuk latihan bagi atlet kebangsaan.

Awal bulan ini, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara Ahmad Shapawi berkata Raduan menerima elaun bulanan sebanyak RM4,500 sehingga digugurkan daripada program itu pada akhir 2017 kerana beberapa “faktor prestasi”.

Ketika ditanya mengenai kehidupan setelah perkara itu terjadi, Raduan berkata sukar untuk mendapatkan pekerjaan setelah itu.

“Walaupun MSN tawarkan saya pekerjaan, saya terpaksa tolak kerana saya ada masalah keluarga dan arwah bapa saya sakit ketika itu,” katanya.

“Saya harus cari pekerjaan lain yang sesuai dengan keadaan hidup saya dan hal itu tidak mudah.”

Walaupun bekas atlet kebangsaan layak mendapat pencen daripada kerajaan, malangnya Raduan tidak layak, walaupun mengharumkan nama negara dengan rangkulan pingat di podium sukan antarabangsa.

“Hanya atlet Paralimpik yang menang pingat terima pencen tetap,” katanya.

“Saya berjaya bawa pulang pingat pada pertandingan besar seperti Sukan SEA, Sukan Asia dan Sukan Terbuka dari 2005 hingga 2017.

“Saya juga bertanding di Paralimpik tetapi saya tidak dapat pingat, jadi saya tidak layak teerima pencen.”

Sekarang, ketika usianya mencecah 39 tahun, Raduan kelihatan puas dengan kehidupan sehariannya.

Ketika ditanya mengenai impiannya, lelaki itu hanya ketawa.

“Saya hanya mahu terus maju dan bertahan untuk hidup,” katanya.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles