- Iklan -
Berita

Rosmah gagal dalam usaha gugurkan Sri Ram, batal kes rasuah RM1.25 bilion

Hakim Mohamed Zaini Mazlan dalam keputusan ringkas berkata kebenaran yang diberikan oleh peguam negara ketika itu, Tommy Thomas kepada Sri Ram untuk menjalankan pendakwaan jenayah dalam kes Rosmah adalah tanpa keraguan.

Bernama
3 minit bacaan
Kongsi
Rosmah Mansor di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini. Gambar: Bernama
Rosmah Mansor di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini. Gambar: Bernama

Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan Rosmah Mansor untuk membatalkan perbicaraan kes rasuah projek solar hibrid RM1.25 bilion yang dihadapinya dan menggugurkan Gopal Sri Ram sebagai ketua pendakwaan dalam kes itu.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan dalam keputusan ringkas berkata kebenaran yang diberikan oleh peguam negara ketika itu, Tommy Thomas kepada Sri Ram untuk menjalankan pendakwaan jenayah dalam kes Rosmah adalah tanpa keraguan berdasarkan Seksyen 376 (3) Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) atas kapasitinya sebagai pendakwa raya.

“Thomas telah menyatakan dengan jelas bahawa beliau, selepas melantik Sri Ram untuk mengetuai pendakwaan dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kemudiannya memberi kuasa kepada beliau untuk menjalankan pendakwaan kes jenayah terhadap pemohon (Rosmah).

“Adalah diketahui umum bahawa Sri Ram telah menjalankan pendakwaan terhadap pemohon dari awal di Mahkamah Tinggi dan beliau (mengendalikan kes itu) bersama pasukan pendakwaan dari Jabatan Peguam Negara. Ia menafikan kepercayaan bahawa Sri Ram boleh berbuat demikian tanpa pengetahuan dan kebenaran Thomas sebagai AG ketika itu dan juga AG sekarang,” kata hakim Zaini.

Hakim itu menambah beliau tegas mengatakan kebenaran itu tidak perlu dibuktikan secara bertulis.

“Oleh itu saya tidak perlu melihat kesahihan fiat bertulis pertama (surat pelantikan) atau pelantikan Sri Ram yang merupakan inti pati permohonan pemohon kerana saya mendapati pelantikan beliau (Sri Ram) oleh Thomas di bawah Seksyen 376(3) Kanun Prosedur Jenayah adalah sah.

“Pada pandangan saya, tiada keperluan untuk fiat bertulis pertama atau kedua dikeluarkan, ia berikutan permohonan pemohon untuk deklarasi antara lain kesahihan fiat bertulis pertama, pelantikan Sri Ram sebagai Timbalan Pendakwa Raya (TPR) dan untuk perbicaraan diisytiharkan batal mesti gagal,” kata hakim.

Zaini selanjutnya berkata beliau juga menyedari hakikat bahawa responden (pihak pendakwaan) telah mengeluarkan fiat bertulis kedua dengan berhati-hati untuk meredakan aduan pemohon mengenai pelantikan Sri Ram.

“Saya cenderung untuk bersetuju dengan cadangan pihak pendakwa raya, selaku pihak berkuasa yang diberi kuasa untuk melantik seseorang menjalankan sesuatu fungsi, seperti yang dinyatakan di bawah Seksyen 50 Akta Tafsiran 1948 dan 1967, pelantikan Sri Ram adalah retrospektif seperti yang dinyatakan di bawah Seksyen 50 (b) akta ini.

“Oleh itu permohonan pemohon ditolak,” katanya.

Rosmah, 69, isteri bekas perdana menteri Najib Razak, memfailkan dua permohonan di Mahkamah Tinggi pada 6 Mei tahun ini untuk membatalkan keseluruhan perbicaraannya, dalam usaha untuk dibebaskan daripada ketiga-tiga pertuduhan serta menggugurkan Sri Ram sebagai pendakwa utama.

Rosmah memfailkan permohonan itu selepas Mahkamah Rayuan pada 8 April lepas membenarkan rayuannya untuk mendapatkan salinan surat pelantikan Sri Ram selepas pihak pendakwaan bersetuju untuk menyerahkan kepada pihak pembelaan.

Beliau mengemukakan rayuan itu selepas Mahkamah Tinggi menolak permohonannya berhubung surat pelantikan Sri Ram, pada 19 Ogos tahun lepas.

Sementara itu, Zaini turut menolak permohonan Rosmah untuk penangguhan prosiding sementara menunggu rayuan keputusan itu di Mahkamah Rayuan atas alasan ia tidak dianggap sebagai satu keadaan khas untuk penangguhan perbicaraan.

“Penangguhan prosiding jenayah hanya akan dibenarkan dalam kes yang jarang berlaku, walaupun hakikat bahawa prosiding ini boleh dibatalkan, ia bukanlah satu keadaan yang istimewa. Atas fakta itu, saya menolak permohonan untuk penangguhan,” tambah hakim lagi.

Pada prosiding hari ini, Rosmah diwakili peguam Jagjit Singh, Akberdin Abdul Kader dan Azrul Zulkifli Stork manakala timbalan pendakwa raya Ahmad Akram Gharib dan Mohamad Mustafa P. Kunyalam bertindak bagi pihak pendakwaan.

Rosmah dijadual memberi keterangan apabila kes pembelaan bermula pada 5 Okt selepas Hakim Mohamed Zaini memerintah Rosmah membela diri atas tiga pertuduhan rasuah membabitkan projek tenaga solar bagi 369 sekolah di luar bandar Sarawak, pada 18 Februari 2021.