- Iklan -
Berita

Penggubal undang-undang AS lulus AS$1 bilion bagi sistem pertahanan Iron Dome Israel

Dana pembiayaan Iron Dome diluluskan selepas mendapat majoriti undi 420-9

AFP
2 minit bacaan
Kongsi
Sistem pertahanan Iron Dome memintas peluru berpandu dari Gaza dilihat di Ashkelon pada Mei lalu. Gambar: Reuters
Sistem pertahanan Iron Dome memintas peluru berpandu dari Gaza dilihat di Ashkelon pada Mei lalu. Gambar: Reuters

Penggubal undang-undang Amerika Syarikat (AS) bersetuju dana AS$1 bilion disalurkan kepada Israel bagi sistem pertahanan peluru berpandu Iron Dome negara itu selepas sebelum ini dibatalkan hasil pembentangan rang undang-undang daripada anggota sayap kiri parti Demokrat.

Dana tersebut pada awalnya turut dimasukkan dalam rang undang-undang bagi menangani impak penutupan operasi kerajaan dan kemungkinan negara itu berdepan krisis hutang pada Oktober.

Namun kumpulan progresif di Dewan Perwakilan dikuasai Demokrat mengatakan mereka akan menyetujui usul tersebut jika dana Iron Dome digugurkan daripada senarai.

Bagaimanapun, dana tersebut akhirnya diluluskan selepas mendapat majoriti 420-9.

“Kelulusan rang undang-undang ini mencerminkan kesatuan dalam Kongres… untuk menjamin keselamatan Israel,” kata pemimpin Demokrat Nancy Pelosi dalam ucapannya di dewan tersebut.

“Bantuan kepada Israel sangat penting, kerana keselamatan Israel adalah mustahak bagi menjamin keselamatan Amerika.”

Iron Dome telah memusnahkan ribuan roket jarak jauh dan peluru yang dilancarkan kumpulan bersenjata Hamas dari Gaza sebelum ia sampai ke kawasan berpenduduk, kata pihak berkuasa Israel.

Sistem tersebut telah disokong oleh AS sejak ia dilancarkan satu dekad lalu melibatkan dana bantuan berjumlah AS$1.6 bilion.

Langkah kumpulan progresif itu telah menimbulkan kemarahan daripada kedua-dua blok.

Pemimpin Republik Kevin McCarthy mengecam tindakan tersebut dan menyifatkan kumpulan Demokrat sayap kiri itu “terpengaruh dengan anti-Semitik dari anggota radikal mereka.”

Dean Phillips, ahli kongres Demokrat dari Minnesota berkata beliau “tidak percaya” rakan-rakan demokratnya membantah usaha mempertahankan “salah satu sekutu terpenting AS dan satu-satunya negara Yahudi di dunia” daripada serangan roket Hamas.

Sehubungan itu, Perdana Menteri Israel Naftali Bennett mengucapkan terima kasih kepada kedua-dua pihak atas komitmen mereka terhadap keselamatan negara itu.

Beliau juga turut mengucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat Amerika di atas “persahabatan mereka yang begitu teguh.”

Bantahan terhadap dana pembiayaan itu menunjukkan kumpulan progresif Demokrat semakin ragu berhubung bantuan tanpa sebarang syarat kepada Israel, tiga bulan setelah Naftali menggulingkan perdana menteri sayap kanan Benjamin Netanyahu.

Rashida Tlaib dan Ilhan Omar, ahli kongres Muslim AS pertama dalam sebuah ciapan Twitter berkata mereka menolak dana pembiayaan kepada Israel dengan alasan pelanggaran hak asasi manusia terhadap Palestin selain aktiviti perluasan penempatan haram Israel di wilayah Palestin.

Ikuti kami di Telegram untuk kemas kini terkini: https://t.me/malaysianowbm

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi

Artikel Berkaitan

Tiada artikel ditemui.