- Iklan -
Berita

Putrajaya akan cadang pindaan Perlembagaan berhubung kerakyatan anak kelahiran luar negara

Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin berkata beliau terikat dengan perundangan sedia ada berhubung kewarganegaraan yang diperuntukkan dalam Bahagian III Perlembagaan Persekutuan dan Kaedah-Kaedah Kewarganegaraan 1964.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin di Dewan Rakyat pada 14 September lalu. Gambar: Bernama
Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin di Dewan Rakyat pada 14 September lalu. Gambar: Bernama

Kementerian dalam negeri (KDN) bersimpati terhadap ibu warganegara Malaysia yang melahirkan anak di luar negara namun tidak mendapat kerakyatan negara ini kerana Perlembagaan Persekutuan tidak membolehkan mereka berbuat demikian.

Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin berkata tiada peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan membolehkan anak-anak ini diberikan taraf kewarganegaraan secara kuat kuasa undang-undang.

“KDN bercadang untuk membawa perkara ini bagi mendapat polisi baru kerajaan untuk meminda Perlembagaan bagi memudahkan ibu-ibu melahirkan anak mereka di luar negara walaupun berkahwin dengan warganegara asing.

Dalam masa yang sama perkara ini perlu mendapat persetujuan Majlis Raja-Raja selaras dengan Perkara 159(5) Perlembagaan Persekutuan,” katanya semasa menggulung perbahasan titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat semalam.

Hamzah menjelaskan beliau terikat dengan perundangan sedia ada berhubung kewarganegaraan yang diperuntukkan dalam Bahagian III Perlembagaan Persekutuan dan Kaedah-Kaedah Kewarganegaraan 1964.

Pada 9 September, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bayi dilahirkan di luar negara oleh wanita Malaysia yang berkahwin dengan warga asing secara automatik berhak mendapat kerakyatan negara ini.

Hakim Mahkamah Tinggi Akhtar Tahir memutuskan perkataan “bapa” dalam Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan perlu bermaksud dan termasuk ibu.

Bagaimanapun pada 13 September lepas, kerajaan memutuskan untuk mengemukakan rayuan untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi itu.

Beberapa ahli Parlimen termasuk Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson), Teo Nie Ching (PH-Kulai) dan Mohamed Nazri Abdul Aziz (BN-Padang Rengas) telah membangkitkan isu permohonan rayuan daripada peguam negara berhubung keputusan Mahkamah Tinggi berkenaan isu kerakyatan itu semasa sesi perbahasan.