- Iklan -
Berita

PH cadang ketua pesuruhjaya SPRM direhatkan, beri laluan siasatan menyeluruh pegawai kanan

PH mahu suruhanjaya siasatan diraja dibentuk bagi menyiasat isu berhubung agensi anti rasuah yang diketuai Azam Baki.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki. Gembar: Bernama
Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki. Gembar: Bernama

Pakatan Harapan (PH) hari ini mencadangkan supaya Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki direhatkan sementara waktu daripada tugas beliau, mengatakan suruhanjaya siasatan diraja perlu dibentuk bagi menyiasat isu berhubung agensi anti rasuah yang diketuainya.

Dalam sebuah kenyataaan majlis presidennya, PH berkata penahanan reman tiga pegawai SPRM atas dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam urusan kes bekas ketua pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO) Hasanah Abdul telah menyebabkan persepsi buruk terhadap integriti SPRM.

“PH menyambut baik kenyataan menteri dalam negeri dalam Dewan Rakya semalamm bahawa kertas inkuiri Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah dibuka terhadap isu ini.

“Bagaimanapun memandangkan isu ini telah mewujudkan satu persepsi yang amat buruk terhadap SPRM serta mengakibatkan rakyat Malaysia mempertikai integriti institusi itu sendiri, kami berpandangan bahawa satu kertas siasatan perlu dibuka,” kata kenyataan yang ditandatangani Presiden PKR Anwar Ibrahim Setiausaha Agung DAP Lim Guang Eng, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Presiden Upko Wilfred Madius Tangau.

Menurutnya, siasatan yang dijalankan tersebut perlu bersifat
menyeluruh dan mereka yang telah melanggar undang-undang mesti dibawa ke muka pengadilan.

“Pada masa yang sama Azam Baki, ketua pesuruhjaya SPRM patut direhatkan sementara waktu dari tugas-tugas beliau sehingga siasatan penuh dapat dilakukan.”

20 September lalu, SPRM mengesahkan tiga pegawai kanannya ditahan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa serta penyelewengan, dalam urusan kes seorang bekas ketua jabatan suruhanjaya itu.

SPRM berkata pihaknya akan membuat siasatan secara menyeluruh dan berharap semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi berhubung perkara itu berikutan ia akan menjejaskan siasatan.

Kesemua pegawai itu direman mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah selama enam hari bermula 14 September lalu hingga 19 September lalu.