- Iklan -
Berita

Pelajar UM persoal survei kerajaan 78% pelajar tidak tertekan belajar dalam talian

Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya mempersoalkan metodologi kajian dan kandungan survei Jabatan Pengatian Tinggi dan Agensi Kelayakan Malaysia.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Menurut KMUM, walaupun seorang sahaja pelajar tertekan disebabkan pengajian dalam talian ia sudah cukup untuk menjadi perhatian pihak berkaitan. Gambar: Bernama
Menurut KMUM, walaupun seorang sahaja pelajar tertekan disebabkan pengajian dalam talian ia sudah cukup untuk menjadi perhatian pihak berkaitan. Gambar: Bernama

Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) hari ini mempertikaikan survei yang dilakukan Jabatan Pengajian Tinggi (JPT) dan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), menggesa laporan soal kajian melibatkan 24,562 pelajar universiti itu dikeluarkan untuk penelitian awam.

KMUM berkata kenyataan Menteri Pengajian Tinggi Noraini Ahmad pada 20 September di Dewan Rakyat yang mengatakan majoriti pelajar tidak tertekan menjalani pengajian dalam talian itu menimbulkan beberapa persoalan.

“Beberapa soalan kritikal yang masih belum dijawab seperti metodologi apakah yang digunapakai bagi kajian tersebut? Siapakah respondennya? Adakah mereka mahasiswa yang menjalani pengajian di rumah ataupun di kampus?” soal KMUM dalam satu kenyataan hari ini.

“Adakah mereka datang daripada golongan B40 atau yang lebih berkemampuan? Adakah kajian yang melibatkan seramai 24,562 orang mahasiswa ini sudah memadai untuk mewakili seluruh mahasiswa di Malaysia?

“Persoalan ini tidak akan terjawab melainkan sebuah laporan soal selidik yang lengkap dikeluarkan untuk penelitian awam.”

Menurut KMUM, jika kajian tersebut menunjukkan 78.4% mahasiswa tidak berasa tertekan, justeru bagaimana pula situasi baki peratusan itu yang tidak boleh diketepikan.

Katanya, walaupun hanya seorang pelajar universiti mengalami tekanan, ianya sudah mencukupi bagi pihak berkaitan untuk memberikan perhatian kepada kesihatan emosi dan mental dalam kalangan mahasiswa.

Berhubung sesi akademik baru yang akan bermula tidak lama lagi, KMUM menggesa agar pelan kontigensi dan polisi berkaitan disegerakan pelaksanaannya.

“Adanya kes bunuh diri yang tidak diingini dalam kalangan mahasiswa baru-baru ini menjadi indikator bahawa isu ini adalah isu yang menekan dan penting. Pengalaman mahasiswa menjalani mod pengajian dalam talian amat bergantung kepada pelbagai faktor seperti fasiliti, ketercapaian sambungan internet, dan suasana sekitar,” kata kenyataan itu.

Menurut KMUM pelajar universiti yang tidak mempunyai peranti digital dan internet stabil masih bergelut untuk menyesuaikan diri mereka dengan norma baru ketika ini selain masalah penginapan terus menjadi isu kerana wujud ketidaktentuan yang memberi kesan kepada keputusan mereka sama ada untuk menyewa rumah di sekitar kampus ataupun tidak.

“Permasalahan ini semua menyumbang secara tidak langsung kepada kesihatan mental mahasiswa yang sekali lagi kami tegaskan, perlu diberi perhatian secukupnya.”