- Iklan -
Berita

80% imuniti kelompok bukan lagi tumpuan KKM, kata Khairy

Menurut Khairy, peularan varian Delta menyukarkan pengiraan imuniti kelompok.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Orang ramai yang hadir dan menunggu giliran sebelum menerima vaksin Sinovac di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (Mitec), Jalan Dutamas.
Orang ramai yang hadir dan menunggu giliran sebelum menerima vaksin Sinovac di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (Mitec), Jalan Dutamas.

Kementerian kesihatan (KKM) tidak lagi menggunakan formula konvensional yang menilai imuniti kelompok berdasarkan capaian sekurang-kurangnya vaksinasi 80% penduduk dewasa dalam usaha membendung Covid-19.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata pakar kesihatan dunia kini berhenti menggunakan formula itu dan fokus memvaksinasi sebanyak mungkin populasi penduduk kerana penularan varian Delta menyebabkan sasaran imuniti kelompok perlu melebihi tahap yang disasarkan sebelum ini iaitu 80%.

“Saya sebagai menteri KKM, saya tidak lagi guna terma herd immunity. Pada waktu kita mulakan program vaksinasi, kita guna formula konvesional untuk kira herd immunity yang didapati bahawa 80% (penduduk dewasa) vaksinasi baru capai herd immunity.

“Tapi pada masa itu sebelum penularan varian Delta. Delta pada dasarnya membawa kesukaran kepada pengiraan imuniti kelompok dan ia adalah sukar untuk menyatakan bila kita dapat (capai) herd immunity, sebab itu kita jangan lagi melihat dengan herd immunity, kita kena lihat liputan itu (vaksinasi) seluas mungkin,” katanya ketika menggulung perbahasan titah diraja pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau memberi penjelasan itu apabila Ahmad Maslan (BN-Pontian) yang bangun dan mempersoalkan mengapa kes jangkitan dan kematian akibat Covid-19 di Malaysia masih tinggi sedangkan kadar vaksinasi penduduk dewasa melebihi 80%.

Pada Selasa, negara mencapai 80% populasi dewasa lengkap divaksin, lebih awal daripada sasaran melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang dilaksanakan sejak 24 Feb, dalam usaha membendung penularan Covid-19 di seluruh negara.