- Iklan -
Berita

376,000 dapat kerja, lepasi sasaran 9 bulan Putrajaya

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob yakin sasaran Putrajaya untuk mencipta 500,000 peluang pekerjaan tahun ini akan tercapai.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Iklan kerja kosong di hadapan sebuah premis peruncitan terkemuka di Pandan Jaya, Kuala Lumpur. Biarpun banyak peluang pekerjaan disediakan, terdapat beberapa jenis pekerjaan yang tidak digemari rakyat Malaysia.
Iklan kerja kosong di hadapan sebuah premis peruncitan terkemuka di Pandan Jaya, Kuala Lumpur. Biarpun banyak peluang pekerjaan disediakan, terdapat beberapa jenis pekerjaan yang tidak digemari rakyat Malaysia.

Lebih 376,000 orang berjaya mendapat pekerjaan setakat 10 September melalui pelbagai inisiatif yang dilaksanakan kerajaan, menjangkaui sasaran mencipta sekitar 354,276 peluang pekerjaan bagi sembilan bulan pertama tahun ini, umum Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

“Ia menunjukkan hasrat kerajaan untuk mewujudkan 500,000 peluang pekerjaan untuk tahun ini bakal dicapai,” kata Ismail hari ini susulan mesyuarat Majlis Pekerjaan Negara yang dipengerusikan beliau malam tadi.

NEC terdiri daripada ketua setiausaha kerajaan, 12 menteri selain 12 wakil daripada sektor swasta.

Ismail berkata kerajaan turut berjaya mencipta lebih 97,000 pekerjaan baru melalui pelaburan domestik.

Beliau turut mengumumkan pelaksanaan Pelan Strategik Penciptaan Pekerjaan Nasional (NJCSP) yang akan diuruskan oleh pasukan tindakan khas di bawah NEC.

“Kerajaan yakin strategi NEC termasuk pelaksanaan NJCSP dapat meneruskan momentum pemulihan ekonomi dan meningkatkan penciptaan pekerjaan sekali gus menangani isu-isu seperti kekurangan pekerja dalam sektor yang tertentu, kesaksamaan peluang untuk golongan rentan serta masalah berkaitan penggajian,” katanya.

NEC ditubuhkan ketika pentadbiran bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin dengan kementerian kewangan dipertanggungjawabkan untuk mengkoordinasikan pelbagai inisiatif antara kementerian-kementerian kerajaan dan agensinya bagi mencipta peluang pekerjaan dalam usaha kerajaan membantu puluhan ribu orang yang kehilangan kerja akibat pandemik Covid-19.