Sunday, October 17, 2021

Negeri Sembilan sertai Labuan beralih ke Fasa 4 PPN

Pahang beralih ke Fasa 3 sementara Johor ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara.

Other News

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumumkan Negeri Sembilan akan beralih ke Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) menyertai Labuan berkuat kuasa 24 September depan.

Dalam sebuah kenyataan, Ismail turut mengumumkan peralihan Pahang ke Fasa Tiga sementara Johor ke Fasa Dua mengambil kira kemasukan ke hospital bagi kes bergejala, penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU) serta peratusan penduduk yang lengkap divaksinasi.

“Keputusan ini juga dilakukan berdasarkan penilaian risiko semasa yang dibuat oleh kementerian kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).”

Selain itu, Ismail berkata MKN turut memutuskan kedai runcit, mini market, restoran, stesen minyak dan kedai serbaneka dibenarkan beroperasi dari jam 6 pagi hingga 12 malam berkuatkuasa esok (23 September 2021).

Kerajaan turut membenarkan pembukaan pusat-pusat pelancongan, pulau-pulau atau kawasan pelancongan berserta aktiviti rentas negeri dibenarkan dengan syarat mencapai 90% kadar vaksinasi dewasa berdasarkan data dan analisis yang telah dibuat oleh KKM.

Sementara itu operasi perniagaan spa, pusat kesihatan dan urut kesihatan dibenarkan kepada pengunjung dan operator yang telah menerima dos lengkap vaksin bermula 1 Oktober 2021.

“Premis atau produk pelancongan seperti zoo, perladangan, akuarium, snorkeling, selam skuba, pelancongan memancing dan taman rimba, dibenarkan beroperasi di semua fasa PPN berkuatkuasa 1 Oktober 2021 dengan semua pengusaha
dan pelawat lengkap divaksin.

Ismail turut berkata kehadiran pekerja bagi setiap perniagaan yang dibenarkan beroperasi adalah pada kapasiti 100% dengan syarat majikan dan semua pekerja lengkap divaksin.

“Kerajaan menyeru dengan kelonggaran-kelonggaran yang diberikan ini, ia dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat dengan penuh disiplin dan rasa tanggungjawab.

“Patuhilah setiap SOP yang ditetapkan, pakai pelitup muka, amalkan penjarakan fizikal dan sentiasa menjaga kebersihan dan keselamatan diri,” tegasnya.

PPN yang diumum 15 Jun lepas menggariskan empat fasa peralihan merangkumi perincian SOP untuk setiap fasa dengan peralihan fasa bagi sesebuah negeri akan dinilai dan dipertimbangkan berdasarkan tiga indikator nilai ambang iaitu purata bilangan kes harian, kadar penggunaan katil di wad unit rawatan rapi (ICU) dan peratusan rakyat dewasa yang lengkap divaksinasi.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles