- Iklan -
Berita

Ku Li letak jawatan pengerusi jemaah penasihat Umno

Pemimpin Umno Tengku Razaleigh Hamzah mempersoalkan kemampuan parti itu untuk memenangi pilihan raya umum akan datang.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah. Gambar: Facebook
Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah. Gambar: Facebook

Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah meletakkan jawatan sebagai pengerusi jemaah penasihat Umno, mempersoalkan kemampuan parti Melayu itu untuk menang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Beliau berkata peletakan jawatan yang didakwa beliau tidak berpelembagaan itu akan berkuat kuasa serta merta.

“Sudah tentu pimpinan yang dipilih dan anggota kerajaan yang menggantikan kerajaan gagal telah direstu pimpinan Umno walaupun orang ramai dan akar umbi menzahirkan kekecewaan mereka kerana hampir semua jawatan dipenuhi oleh mereka yang ‘gagal’.

“Bolehkah mereka ini bantu parti kita tebus kekalahan dalam PRU15 dan akhiri Parlimen yang tergantung?” katanya dalam satu surat dihantar kepada Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi pada Isnin.

Dalam pada itu, Razaleigh yang tekenal dengan panggilan Ku Li turut mengucapkan terima kasih kepada Zahid kerana memberikan peluang kepada beliau untuk memainkan peranan “kecil” dalam parti itu.

Pada Julai, Ku Li yang merupakan ahli Parlimen Umno memohon agar tempat duduk beliau dalam Dewan Rakyat diletakkan berhampiran blok Bebas.

Dalam satu surat bertarikh 26 Julai kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun, beliau memberi alasan memohon pertukaran tempat duduk kerana tidak lagi menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Dari awal lagi saya tidak pernah menyokong atau bersama-sama dengan kerajaan yang ditubuh yang mengguna nama kerajaan Perikatan Nasional.

“Saya belum mengetahui sama ada anggota-anggota Dewan Rakyat yang lain daripada parti saya telah berurusan dengan YB Tuan Yang di-Pertua mengenai tempat duduk mereka dalam Dewan Rakyat.

“Walau apa pun yang dilakukan oleh mereka ini saya dengan suka hati mohon berpindah ke tempat lain yang sewajarnya, bersesuaian dengan semangat perjuangan Barisan Nasional/Umno terutama sekali pengundi saya, ahli-ahli Umno dan rakyat Malaysia supaya sedikit pun tidak boleh dianggap sebagai penyokong kerajaan gagal ini,” katanya.