- Iklan -
Berita

KPDNHEP keluar 954 saman hampir RM5 juta bagi pesalah langgar SOP

Pemantauan KPDHEP mendapati pematuhan SOP sektor perdagangan pengedaran berada pada tahap 98.7%.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Pengarah Penguatkuasa KPDHEP Azman Adam berkata tindakan kompaun diambil dalam pemeriksaan penguatkuasa KPDNHEP di 803,705 premis mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342). Gambar: Bernama
Pengarah Penguatkuasa KPDHEP Azman Adam berkata tindakan kompaun diambil dalam pemeriksaan penguatkuasa KPDNHEP di 803,705 premis mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342). Gambar: Bernama

Kementerian perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna (KPDNHEP) mengeluarkan 954 kompaun bagi kesalahan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) membabitkan nilai RM4.94 juta dalam pemeriksaan menerusi Ops Samar di seluruh negara sejak 13 Mei lepas.

Pengarah penguatkuasanya Azman Adam berkata tindakan kompaun diambil dalam pemeriksaan penguatkuasa KPDNHEP di 803,705 premis sehingga semalam mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

“Antara kesalahan yang dikesan ialah peniaga gagal mempamerkan had kemasukan pelanggan, peniaga dan pelanggan tidak mendaftar masuk menggunakan aplikasi MySejahtera, gagal memakai pelitup muka dan sebagainya.

“Tindakan kompaun serta-merta yang dikenakan adalah sebagai mesej kepada peniaga mengenai keseriusan dan komitmen KPDNHEP dalam melaksanakan Ops Samar di seluruh negara,” katanya kepada pemberita selepas melakukan pemeriksaan di beberapa premis tumpuan di sekitar Putrajaya semalam.

Mengulas lanjut, Azman berkata seramai 2,262 anggota penguatkuasa terlibat dalam Ops Samar di seluruh negara bagi menjalankan pemeriksaan serta pemantauan setiap hari untuk memastikan SOP pencegahan Covid-19 dipatuhi peniaga dan pelanggan.

“Kebiasaan pemeriksaan dilaksanakan anggota dengan memakai pakaian seragam namun menerusi Ops Samar, mereka memakai pakaian preman termasuk penyamaran sebagai orang awam semasa menjalankan pemeriksaan,” katanya.

Ditanya mengenai pematuhan SOP sektor perdagangan pengedaran, Azman berkata pemantauan mendapati ia berada pada tahap 98.7%.

“Berdasarkan kepada statistik ini, KPDNHEP berpuas hati namun ia perlu terus dipertingkat bukan sahaja dalam kalangan pemilik premis malah pelanggan,” katanya.

Beliau berkata SOP yang diwujudkan kerajaan bukan untuk menyusahkan mana-mana pihak sebaliknya bertujuan menjamin kesejahteraan dan keselamatan rakyat.

“Menjadi tanggungjawab semua orang baik pengguna, peniaga dan semua agensi untuk memastikan kita semua mematuhi SOP,” katanya sambil menambah pengabaian aspek pematuhan SOP mampu menggagalkan usaha kerajaan dalam memerangi penularan wabak Covid-19.