- Iklan -
Berita

KDN mohon peruntukan RM10 juta rancakkan aktiviti pemulihan penagih dadah

Seramai 30 mentor yang mencapai standard kepulihan tersendiri telah dilantik untuk menjadi contoh kepada masyarakat bagi menjayakan usaha pemulihan penagihan dadah.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Dadah boleh merosakkan institusi keluarga, masyarakat dan negara jika tidak ditangani dengan holistik. Gambar: AFP
Dadah boleh merosakkan institusi keluarga, masyarakat dan negara jika tidak ditangani dengan holistik. Gambar: AFP

Kementerian dalam negeri memohon peruntukan khusus RM10 juta melalui Belanjawan 2022 bagi merancakkan lagi aktiviti dan usaha mengekalkan kepulihan bekas penagih dadah di seluruh negara bagi tahun hadapan.

Menterinya Hamzah Zainudin berkata ini adalah bagi membuktikan bahawa usaha pemulihan adalah tidak mustahil dan boleh dicapai, maka Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) telah memperkenalkan inisiatif baru dalam mengetengahkan individu yang pernah menerima rawatan dan pemulihan di agensi berkenaan.

Justeru katanya pada tahun ini, seramai 30 mentor yang mencapai standard kepulihan tersendiri telah dilantik untuk menjadi “role model” kepada masyarakat untuk mencapai kejayaan yang lebih cemerlang.

“Pendekatan ini secara tidak langsung bakal memberi kesedaran dan motivasi kepada individu yang sedang terlibat dengan masalah dadah untuk hadir mendapatkan rawatan secara sukarela di fasiliti yang disediakan kerajaan khususnya AADK.

“Isu penyalahgunaan dadah perlu ditangani menggunakan pendekatan bersepadu, pelbagai disiplin, saling sokong menyokong dan seimbang di antara pengurangan permintaan dan penawaran,” katanya berucap pada Simposium Jawatankuasa Pemulihan Dadah Daerah dan Hari Kepulihan AADK Peringkat Kebangsaan Tahun 2021 secara maya hari ini.

Selain itu, Hamzah berkata simposium hari ini juga adalah satu daripada usaha KDN melalui AADK untuk menggembleng usaha dan mengiktiraf potensi kesukarelawanan ditunjukkan oleh pemimpin komuniti, NGO, klien AADK dan bekas klien (penagih dan bekas penagih) seramai 1,500 peserta.

Beliau berkata sehingga 31 Ogos tahun ini 47,863 orang menerima rawatan dan pemulihan di AADK seluruh Malaysia, membuktikan perkhidmatan berkenaan tidak terjejas ketika pandemik Covid-19, malahan penggunaan teknologi dipertingkatkan bagi memastikan penghuni mendapat akses rawatan.

Hamzah berharap segala usaha kesukarelawanan dalam membantu pemulihan terus dipelbagaikan dengan menampilkan usaha lebih kreatif dan berkesan selain kefahaman kepada masyarakat harus dilakukan secara konsisten bagi memberikan kesedaran bahawa penagih dadah perlu dirawat.