- Iklan -
Berita

90.5% guru lengkap divaksinasi

KPM sentiasa bekerjasama rapat dengan Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 bagi memastikan kadar vaksinasi dalam kalangan guru dapat dilaksanakan secara lancar.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Seorang guru  menyambut murid-murid tahun satu dan dua pada 8 Mac lalu ketika perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP).
Seorang guru menyambut murid-murid tahun satu dan dua pada 8 Mac lalu ketika perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP).

Menteri Kanan Pendidikan Radzi Jidin mengumumkan hari ini 90.5% guru yang berdaftar dengan kementerian lengkap divaksinasi selain sementara 7.2% kini sedang menunggu suntikan dos kedua vaksin.

Dalam ucapan penggulungan perbahasan titah diraja hari ini, Radzi turut berkata 85.8% anggota kumpulan pelaksana (AKP) dan 79.2% pekerja perkhidmatan sokongan menerima vaksin lengkap.

“Kementerian pendidikan sentiasa bekerjasama rapat dengan Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) bagi memastikan kadar vaksinasi dalam kalangan guru, anggota kumpulan pelaksana (AKP) dan pekerja perkhidmatan sokongan dapat terus ditingkatkan.

“Ini bagi mewujudkan satu ekosistem dimana mereka yang berada bersama-sama murid di sekolah divaksin sepenuhnya.

Selain itu, Radzi menegaskan sekali lagi bahawa mana-mana guru yang belum menerima vaksin lengkap atau belum divaksin tidak dibenarkan melaksanakan pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara bersemuka.

3 September lalu, Radzi berkata guru yang enggan menerima vaksin Covid-19 tidak akan dibenarkan mengajar secara bersemuka apabila sesi persekolahan dibuka pada 3 Oktober depan

Menurutnya, terdapat 2,500 guru enggan divaksinasi di negara ini dan KPM akan mengadakan sesi libat urus bersama mereka.

“Apabila sekolah dibuka kelak, guru yang tidak divaksinkan ini tidak boleh mengajar secara bersemuka di dalam kelas serta berinteraksi dengan pelajar.

Bagaimanapun, KPM akan mengeluarkan garis panduan tugasan untuk guru yang tidak divaksin dan pada masa sama mengadakan perbincangan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berkenaan tindakan yang boleh diambil terhadap guru yang masih belum divaksinkan ini.

Semalam, JPA berkata pihaknya akan memberikan beberapa cadangan tindakan berhubung pegawai JPA yang enggan divaksin.

JPA turut berkata pilihan tindakan dan pendekatan telah dibawa kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk diputuskan termasuk cadangan arahan mewajibkan semua penjawat awam mengambil vaksin kecuali mereka yang mempunyai alasan kukuh untuk pengecualian atas faktor kesihatan.