Saturday, October 23, 2021

Shafee dibayar RM1,000 sebagai TPR bagi kes rayuan liwat Anwar, kata saksi

Shafee menjelaskan yuran guaman tersebut dipersetujui di antara beliau dan kerajaan Malaysia.

Other News

Mahkamah Tinggi diberitahu bahawa Muhammad Shafee Abdullah hanya menerima bayaran berjumlah RM1,000 sebagai timbalan pendakwa raya (TPR) dalam kes rayuan liwat membabitkan Anwar Ibrahim.

Perkara itu disahkan Penolong Penguasa di Cawangan Siasatan D, Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Putrajaya, Zulfaqar Mohd Khalil, 29, pada hari keempat perbicaraan kes peguam itu yang didakwa menerima wang hasil kegiatan haram berjumlah RM9.5 juta daripada Najib Razak dan dua pertuduhan membuat penyataan palsu kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Semasa disoal balas peguam Harvinderjit Singh, saksi pendakwaan kelima itu berkata berdasarkan penyataan rakaman percakapan, Shafee menjelaskan bahawa yuran guaman yang dipersetujui di antara beliau dan kerajaan Malaysia adalah RM1,000 bagi kes berkenaan.

Harvinderjit: Menurut perjanjian bertarikh 19 Julai 2013, anak guam saya hanya diberikan RM1,000 untuk mengendalikan rayuan kes Anwar. Beliau juga menjelaskan bahawa pemberian cek RM9.5 juta daripada Najib tiada kaitan dengan pelantikannya sebagai timbalan pendakwa raya dalam kes rayuan liwat berkenaan. Adakah ia dirakam dalam percakapan beliau?

Zulfaqar: Ya, betul.

Harvinderjit: Oleh sebab ada dakwaan (RM9.5 juta adalah yuran guaman untuk kes liwat Anwar), Muhammad Shafee sendiri membawa kenyataan media dan surat daripada Jabatan Peguam Negara bagi menyangkal dakwaan berkenaan. Ini adalah usaha anak guam saya dalam memberi penjelasan mengenai dakwaan itu?

Zaulfaqar: Ya.

Pada 11 Mac 2015, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri memberitahu Dewan Rakyat bahawa Shafee menerima bayaran berjumlah RM1,000 sebagai timbalan pendakwa raya dalam kes Anwar.

Sementara itu, bekas bendahari Majlis Peguam Malaysia N. Ravindran, 56, memberitahu mahkamah bahawa selepas 2010 sehingga sekarang, semua perkhidmatan yang diberikan oleh peguam harus diisytiharkan pada tahun perkhidmatan itu diberikan walaupun peguam tersebut tidak menerima bayaran daripada anak guam.

“Dua pekeliling bertarikh 15 Februari 2008 dan 3 September 2008 telah die-mel kepada Muhammad Shafee. Pekeliling itu adalah berkaitan perkhidmatan yang diberi oleh peguam untuk fi hendaklah diisytiharkan pada tahun perkhidmatan diberikan kecuali perkhidmatan secara pro bono,” kata saksi pendakwaan keenam itu.

Pada 13 September 2018, Shafee mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima wang hasil kegiatan haram berjumlah RM9.5 juta melalui dua cek dikeluarkan oleh Najib yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank Berhad miliknya.

Beliau didakwa menerima cek RM4.3 juta pada 13 September 2013 dan RM5.2 juta pada 17 Februari 2014.

Shafee dituduh melakukan kedua-dua kesalahan itu di CIMB Bank Bhd, Taman Tunku, Bukit Tunku mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun dan denda RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Peguam itu juga berdepan dua pertuduhan terlibat dalam transaksi hasil daripada aktiviti haram iaitu mengemukakan penyata tidak betul dan bertentangan dengan perenggan 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Disember 2013 dan 31 Disember 2014.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di LHDN cawangan Jalan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini pada 3 Mac 2015 dan 29 Jun 2015 dan berdepan hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah hasil aktiviti haram.

Perbicaraan di hadapan hakim Muhammad Jamil Hussin akan bersambung pada 14 Oktober dengan Ravindran akan disoal balas oleh peguam Harvinderjit.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles