- Iklan -
Berita

Kerajaan pertimbang benarkan restoran, kedai makan untuk beroperasi hingga tengah malam

Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein berkata cadangan tersebut akan dibangkitkan dalam Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Covid-19.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Restoran dan kedai makanan bakal dibenarkan beroperasi di seluruh negara di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Restoran dan kedai makanan bakal dibenarkan beroperasi di seluruh negara di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Restoran dan kedai makanan di seluruh negara bakal dibenarkan beroperasi dari 6 pagi hingga 12 malam tanpa mengambil kira fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN), kata Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein hari ini.

Kebenaran itu juga turut melibatkan stesen minyak dan kedai serbaneka dengan pengecualian di kawasan dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan, katanya.

Beliau turut menambah keputusan itu akan disyor untuk diputuskan kepada Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Covid-19 yang dipengerusikan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob esok.

“Saya harap semua tahu kita bukan sahaja serius tetapi kita juga bertanggungjawab untuk memastikan apabila kita buat kelonggaran, kita lakukannya dalam keadaan selamat dan bertanggungjawab,” katanya dalam sidang media di bangunan Parlimen hari ini.

Hishammuddin berkata rakyat perlu memberi masa kepada kerajaan dalam membuat keputusan berhubung perkara itu.

Beliau berkata buat masa ini, kerajaan telah memberikan kelonggaran berkaitan rentas negeri seperti projek rintis gelembung pelancongan Langkawi dan pasangan jarak jauh yang telah lengkap vaksinasi.

Katanya, kerajaan juga turut menumpukan isu penambahbaikan prosedur operasi standard (SOP) dengan usaha mempermudah 181 SOP kepada 10 sahaja agar berjalan dengan baik sekali gus memberi keyakinan ia dapat diselesaikan seperti dirancang pada permulaan Oktober.

“Menuju fasa endemik, lebih banyak kelonggaran akan diberikan kepada rakyat. Saya berharap rakyat tidak leka sebaliknya kekal berdisiplin dalam mengamalkan SOP (prosedur operasi standard) serta mematuhi garis panduan yang ditetapkan,” katanya.