- Iklan -
Berita

Kerajaan perhalusi beberapa parameter berhubung pengiktirafan kerajaan Taliban

Saifuddin Abdullah memaklumkan pengiktirafan terhadap kerajaan Afghanistan harus mengikut gambaran Malaysia sendiri dan bukan naratif pihak lain.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Taliban menguasai Kabul selepas pengunduran tentera Amerika Syarikat dari Afghanistan. Gambar: Reuters
Taliban menguasai Kabul selepas pengunduran tentera Amerika Syarikat dari Afghanistan. Gambar: Reuters

Kerajaan akan mengambil pendekatan berhati-hati dan teliti berhubung isu pengiktirafan Emiriah Islam Afghanistan yang ditubuhkan oleh Taliban selepas kumpulan itu berjaya menawan semula negara pada bulan lalu.

Menteri Luar Saifuddin Abdullah berkata ini selari dengan dasar luar Malaysia yang bebas, berprinsip dan pragmatik.

Katanya, beberapa parameter akan diambil kira sebelum pengiktirafan Putrajaya dimuktamadkan kepada kerajaan sementara di Afghanistan yang ditubuhkan pada 7 September lepas.

“Pertama, tahap penerimaan rakyat Afghanistan sendiri terhadap penguasaan dan penubuhan kerajaan oleh Taliban. Kedua, kita dapati kerajaan sementara masih tidak bersifat inklusif dengan tidak merangkumi penyertaan golongan etnik-etnik utama. Ini berkait soal inklusiviti termasuk peranan wanita.

“Ketiga, Malaysia sentiasa berpegang bahawa kerajaan di Kabul mesti berdasarkan pendekatan proses keamanan ‘Afghan-led, Afghan-owned dan Afghan-controlled’,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Dr Hatta Ramli (PH-Lumut) yang ingin tahu sama ada Malaysia akan mengiktiraf kerajaan di Afghanistan.

Menurut beliau, Malaysia juga kekal dengan pendirian yang ditetapkan dalam mesyuarat tergempar jawatankuasa eksekutif Pertubuhan Persidangan Islam (OIC).

Antara perkara yang dimuktamadkan dalam mesyuarat itu termasuklah pengukuhan sokongan OIC terhadap Afghanistan, harapan masyarakat antarabangsa terhadap negara itu dan kepentingan melindungi hak rakyat negara itu.

Tambah Saifuddin sehingga kini masih tiada negara luar mengiktiraf kerajaan di Kabul, termasuk negara-negara jiran Afghanistan.

Katanya, kerajaan tidak perlu mengikut naratif mana-mana pihak berhubung persepsi terhadap negara itu.

Pada masa sama, katanya Malaysia mempunyai hubungan tidak rasmi menerusi hubungan antara tokoh-tokoh negara dengan kumpulan-kumpulan selain Taliban di Afghanistan yang boleh memberikan gambaran sendiri untuk Malaysia.

“Pengiktirafan kita tidak boleh berdasarkan gambaran yang diberikan pihak-pihak tertentu, naratif pihak Barat atau Timur.

“Kita harus ingat apa definisi pengganas dan siapa yang beri label pengganas, jadi kita tidak mahu terperangkap,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Ahmad Maslan (BN-Pontian)

Taliban menguasai Afghanistan pada 15 Ogos lalu selepas pengunduran tentera Amerika Syarikat selepas 20 tahun menduduki negara itu, susulan serangan 11 September oleh Al-Qaeda.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sebelum ini menggesa dunia menjalinkan hubungan dengan Taliban sebagai cara menyalurkan bantuan kepada rakyat Afghanistan.

Dalam pada itu, Saifuddin memaklumkan Malaysia berikrar untuk menghantar bantuan kemanusiaan sebanyak AS$100,000, dan berjanji membantu dalam bentuk pembangunan kapasiti bersama negara ketiga.