Saturday, October 23, 2021

Pemberian suntikan ketiga vaksin dijangka bermula Oktober

KKM sedang melakukan perbincangan dengan pakar dalam menentukan kumpulan usia individu yang akan menerima dos penggalak tersebut.

Other News

Pemberian dos ketiga atau dos penggalak vaksin Covid-19 untuk golongan rentan dan berisiko dijangkiti Covid-19 dijangka bermula pada Oktober ini, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata golongan itu termasuk warga emas dengan komorbiditi seperti mempunyai masalah kesihatan kronik, petugas barisan hadapan, individu kurang daya tahan imun serta mereka yang tinggal dan bekerja di pusat jagaan jangka panjang.

“Kita akan buka kepada golongan ini dahulu kerana berdasarkan data kematian, data kategori 5 yang masuk ke ICU (unit rawatan rapi), kebanyakan daripada mereka terdiri daripada golongan tersebut, warga emas yang ada masalah jantung, kencing manis, hipertensi dan sebagainya.

“Pemberian dos ketiga atau (dos) penggalak itu juga tidak bermaksud pemberian dua dos vaksin sebelum ini tidak berkesan, sebaliknya ia adalah bagi meningkatkan sistem imun,” katanya pada sidang media sempena lawatan kerja beliau ke Kedah di Wisma Darul Aman semalam.

Beliau berkata banyak negara sudah memulakan pemberian dos penggalak vaksin Covid-19 termasuk di Amerika Syarikat, United Kingdom dan Singapura bertujuan untuk meningkatkan lagi sistem imun individu terhadap wabak itu.

Bagaimanapun, Khairy berkata kementerian kesihatan (KKM) belum membuat keputusan sama ada dos penggalak itu akan diberikan kepada semua individu di negara ini.

“Perkara ini masih dalam perbincangan. KKM juga ketika ini sedang melakukan perbincangan dengan pakar dalam menentukan kumpulan usia individu yang akan menerima dos itu,” katanya.

Beliau berkata pihaknya juga telah mengarahkan semua syarikat pengeluar vaksin untuk menghantar maklumat lanjut kepada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) bagi menentukan jenis vaksin yang boleh diberikan dos penggalak.

“Buat masa ini, kita sedang mendapatkan maklumat daripada pengeluar vaksin untuk didaftar di bawah NPRA, dos ketiga ini perlu dapat kebenaran NPRA, sebab NPRA hanya bagi kebenaran contohnya kepada Pfizer, AZ (AstraZeneca), Sinovac (hanya dibenarkan diberi) dua dos sahaja,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan bersetuju untuk melaksanakan pemberian dos ketiga vaksin Covid-19 dalam usaha meningkatkan perlindungan kepada golongan rentan daripada risiko jangkitan pandemik berkenaan.

Beliau berkata keutamaan pemberian dos ketiga itu akan tertumpu kepada kumpulan berisiko tinggi terlebih dahulu seperti anggota barisan hadapan kesihatan dan pesakit kurang daya tahan imun.

Selain itu, perdana menteri berkata turut diberikan keutamaan adalah warga emas dengan komorbiditi serta individu yang tinggal atau bekerja di pusat jagaan jangka panjang dan kesemuanya akan dilaksanakan apabila liputan imunisasi populasi dewasa di seluruh negara melebihi 80%.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles