- Iklan -
Berita

Lebih 80% kekosongan guru sudah diisi, kata menteri

Hanya tinggal lebih 2,000 daripada 21,564 kekosongan untuk diisi susulan pengambilan khas one-off pada Jun.

Ahmad Mustakim Zulkifli
1 minit bacaan
Kongsi
Menteri Pendidikan Radzi Jidin. Gambar: Bernama
Menteri Pendidikan Radzi Jidin. Gambar: Bernama

Lebih 80% kekosongan guru-guru di sekolah seluruh negara sudah diisi menerusi pengambilan khas 18,702 pegawai pentadbir pendidikan Gred 41 yang diumumkan kerajaan pada Jun lalu, kata Menteri Pendidikan Radzi Jidin.

Beliau berkata, menerusi pengambilan itu, hanya 2,862 kekosongan daripada 21,564 kekosongan masih berbaki dan akan diisi oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) menerusi proses lantikan biasa.

“Dari segi kriteria pemilihan, keutamaan diberikan kepada graduan yang mempunyai kelayakan ikhtisas pendidikan daripada universiti awam, swasta dan antarabangsa untuk dilantik secara tetap.

“Selain itu,  calon perlu memenuhi syarat-syarat skim perkhidmatan, memenuhi padanan kluster mata pelajaran dan berjaya dalam temu duga bersama SPP.

“Sekiranya bilangan calon yang berjaya dilantik dalam kalangan graduan yang mempunyai kelayakan ikhtisas pendidikan masih tidak mencukupi maka SPP akan melaksanakan kaedah lantikan secara contract of service dalam kalangan calon-calon yang tidam mempunyai kelayakan ikhtisas pendidikan,” katanya pada sesi Dewan Rakyat di Parlimen hari ini.

Beliau menjawab soalan daripada Ahli Parlimen Jerai Sabri Azit yang ingin bertanyakan mengenai kriteria pemilihan guru-guru tersebut.

Katanya, pengambilan secara one-off itu menyelesaikan masalah kekurangan guru yang berlanjutan selama bertahun-tahun.

Dalam pada itu, ketika menjawab soalan tambahan mengenai guru duka lara, Radzi berkata  satu garis panduan surat pekeliling akan dikeluarkan untuk menggantikan surat pekeliling ikhtisas 1975.

“Kita akan lihat balik pertukaran guru seiring kemasukan lebih 18,000 warga pendidik yang diambil secara ‘one-off’ tempoh hari, menerusi langkah menjajarkan ia dengan pertukaran yang sudah dimohon.

“Bagaimanapun, kita akan memastikan pertukaran dibuat selari keperluan setiap sekolah,” tambah beliau.