- Iklan -
Berita

Lebih 4,000 murid kehilangan ibu bapa akibat pandemik Covid-19

154 daripadanya merupakan murid yang kehilangan kedua-dua ibu bapa.

Azzman Abdul Jamal
2 minit bacaan
Kongsi
4,422 murid berdaftar dengan kementerian pendidikan kehilangan ibu bapa atau penjaga akibat pandemik Covid. Gambar: Bernama
4,422 murid berdaftar dengan kementerian pendidikan kehilangan ibu bapa atau penjaga akibat pandemik Covid. Gambar: Bernama

Lebih dari 4,000 orang murid kehilangan ibu bapa atau penjaga setakat 13 September lalu dengan lebih 100 daripada mereka kehilangan kedua-dua ibu dan bapa akibat pandemik Covid-19, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rina Harun.

Dalam perbahasan sidang Dewan Rakyat hari ini, Rina memetik statistik kementerian pendidikan Malaysia (KPM) yang menunjukkan 4,422 murid sekolah yang berdaftar dengan kementerian itu kehilangan ibu bapa atau penjaga sementara 154 daripadanya merupakan murid yang kehilangan kedua-dua ibu bapa.

“Kementerian wanita, keluarga dan masyarakat amat prihatin terhadap kebajikan kanak-kanak yang telah kehilangan ibu dan ayah ataupun penjaga atau kedua-duanya disebabkan pandemik Covid-19 dan memerlukan pembelaan sewajarnya

Menurutnya, kerajaan ketika mengumumkan Belanjawan 2021 telah bersetuju menaikkan kadar bantuan bulanan dibawah skim bantuan kanak-kanak dan bantuan pesakit terlantar kendalian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Bagi kanak-kanak berusia di bawah tujuh tahun layak menerima sebanyak RM200 seorang manakala bagi kanak-kanak tujuh tahun ke atas akan memperolehi bantuan sebanyak RM150 bagi seorang kanak-kanak.

“Untuk pertama kalinya, kadar bantuan maksimum bagi kanak-kanak dinaikkan daripada RM450 sekeluarga kepada RM1000 sekeluarga.”

Selain itu, Rina memberitahu pihak kementerian juga akan menyediakan perkhidmatan kaunseling bagi kanak-kanak yang menghadapi tekanan emosi akibat kehilangan keluarga dan penjaga.

“Antara perkhidmatan kaunseling disediakan adalah intevensi psikologi dan kaunseling individu, kelompok serta terapi psikologi.

“Kedua ialah intervensi krisis dan sokongan psikologi. Intervensi ini termasuk sokongan pengurusan tekanan dan juga trauma. Perkhidmatan kaunseling yang ketiga melibatkan psiko-pendidikan, program psiko-spritual serta ‘art therapy’,” tambahnya.

Mengulas lanjut, Rina berkata, kanak-kanak turut boleh ditempatkan di insittusi JKM sekiranya mereka tidak mempunyai waris atau saudara mara yang boleh menjaga mereka berdasarkan peruntukan di bawah Seksyen 17 Akta Kanak-Kanak 2001.

Jelasnya, kanak-kanak itu akan diambil perintah sementara melalui mahkamah dan diletakkan di bawah perintah sementara sama ada kepada keluarga ganti, orang yang layak dan sesuai atau institusi yang selamat.

Setakat 19 September, Malaysia merekodkan 23,443 kes kematian akibat Covid-19.

Menurut laman sesawang KKM, CovidNow, purata tujuh hari catatan sebenar kematian harian ketika itu adalah 110.