- Iklan -
Berita

Bencana di Gunung Jerai takdir Tuhan, kata menteri

Manurut Takiyuddin, tiada pembalakan di kawasan Gunung Jerai yang diwartakan sebagai Geopark Kebangsaan itu.

Ahmad Mustakim Zulkifli
1 minit bacaan
Kongsi
Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Takiyuddin Hassan. Gambar: Bernama
Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Takiyuddin Hassan. Gambar: Bernama

Kejadian bencana alam yang berlaku di kawasan Gunung Jerai, Kedah pada bulan lepas merupakan takdir Tuhan atau “act of God”, kata Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Takiyuddin Hassan.

“Kita amat dukacita berlakunya satu bencana (di Gunung Jerai). This is act of God, satu takdir Allah.”

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Ahli Parlimen Jerai Sabri Azit pada sesi pagi Dewan Rakyat hari ini.

Sabri bertanya mengenai usaha kementerian untuk melestarikan hutan di sepanjang menuju puncak Gunung Jerai.

Kenyataan itu disanggah Ahli Parlimen Port Dickson Anwar Ibrahim yang tidak bersetuju dengan kenyataan itu.

“Masalah alam sekitar ini jangan salahkan Tuhan, kadang-kadang ini salah manusia. How do you say act of God, bila manusia rakus merosakkan balak?” katanya.

Namun Takiyuddin memaklumkan Gunung Jerai telah diisytiharkan sebagai Geopark Kebangsaan pada tahun 2018, bersempena dengan pertabalan Sultan Kedah sekarang.

“Atas status sebagai geopark, aktiviti pembalakan memang tidak dijalankan di kawasan itu.

“Saya melihat sendiri pokok yang dibawa turun oleh kepala air itu bersekali dengan akarnya sekali, menunjukkan tidak ada pembalakan di kawasan Jerai. Inilah yang disebut takdir Allah,” katanya.

Takiyuddin berkata kerajaan akan menjalankan usaha restorasi hutan di kawasan itu dengan peruntukan RM75 juta.

Pada 18 Ogos, tiga mangsa ditemui maut dalam kejadian kepala air dan tanah runtuh di Gunung Jerai.  Banjir yang berlaku juga menyebabkan beberapa kampung di kaki gunung dilanda banjir teruk.

Terdahulu, beliau menjawab soalan Anwar mengenai pemantauan kementerian terhadap aktiviti pembalakan di kawasan hutan khususnya yang telah digazet sebagai hutan simpan.