- Iklan -
Berita

Sekolah masih ditutup untuk 77 juta pelajar, kata Unicef

Hampir 27% negara di seluruh dunia terus menutup atau membuka sebahagian sesi persekolahan.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Seorang guru di India mengajar anak murid di kawasan terbuka dengan dinding rumah dijadikan papan tulis untuk pembelajaran mereka. Gambar: Reuters
Seorang guru di India mengajar anak murid di kawasan terbuka dengan dinding rumah dijadikan papan tulis untuk pembelajaran mereka. Gambar: Reuters

Sekolah untuk kira-kira 77 juta pelajar di enam negara terus ditutup hampir 18 bulan disebabkan pandemik Covid-19, menurut analisis data terkini yang dikeluarkan pada Khamis oleh Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef), lapor Xinhua.

Enam negara tersebut adalah Bangladesh, Kuwait, Panama, Filipina, Arab Saudi dan Venezuela.

Secara keseluruhan, kira-kira 131 juta pelajar di 11 negara telah ketinggalan lebih tiga perempat pembelajaran sejak pandemik bermula. Hampir 27% negara di seluruh dunia terus menutup atau membuka sebahagian sesi persekolahan.

“Ketika kelas disambung semula di banyak negara di dunia, berjuta-juta pelajar memasuki tahun akademik ketiga tanpa menjejakkan kaki ke kelas.

“Kerugian yang ditanggung pelajar kerana tidak berada di sekolah tidak akan dapat dipulihkan,”  kata Pengarah Eksekutif Unicef Henrietta Fore.

Penutupan sekolah menimbulkan krisis di luar pendidikan seperti tidak mendapat makanan asas yang disediakan di sekolah dan vaksinasi rutin. Kanak-kanak juga mengalami pengasingan sosial, peningkatan kerisauan dan terdedah kepada penderaan serta keganasan.

Menurut Unicef ada yang menjadi buruh kanak-kanak dan berkahwin di bawah umur.

Sebilangan ibu bapa terpaksa meninggalkan pekerjaan mereka untuk menjaga anak-anak dan membantu keperluan belajar, mendorong beberapa keluarga terjerumus ke jurang kemiskinan, menambah kepada krisis ekonomi.

Meskipun pembelajaran jarak jauh atau dari rumah kini menjadi kehidupan baharu jutaan pelajar sekolah, namun akses kepada teknologi dan kualiti kurikulum adalah tidak setara.

Pengalaman menunjukkan bahawa sekolah bukanlah penyebab utama penularan dan pembelajaran bersemuka mungkin boleh dibuka, kata Unicef.

“Sekolah perlu menjadi institusi terakhir yang ditutup dan yang pertama dibuka semula. Kita harus mula mengutamakan kepentingan terbaik untuk setiap kanak-kanak. Pelajar boleh kembali ke sekolah, kecuali jika keadaan sangat terancam,” kata Fore.