- Iklan -
Berita

Pelancaran Area 57 buka peluang negara jadi pemain utama industri dron

Menurut pemain industri, pembangunan Area 57 adalah perlu dalam usaha memacu ekonomi baru melalui industri dron.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Area 57 adalah sebuah pusat kecemerlangan penyelidikan dan pembangunan serta pemerkasaan bakat yang dibangunkan Taman Teknologi Malaysia (TPM) bagi memajukan perkembangan industri berfokus inovasi Unmanned Aerial Vehicle (UAV) dan Unmanned Aircraft Systems.
Area 57 adalah sebuah pusat kecemerlangan penyelidikan dan pembangunan serta pemerkasaan bakat yang dibangunkan Taman Teknologi Malaysia (TPM) bagi memajukan perkembangan industri berfokus inovasi Unmanned Aerial Vehicle (UAV) dan Unmanned Aircraft Systems.

Malaysia mempunyai potensi menjadi pemain utama industri dron di peringkat global berikutan prapelancaran Penyelidikan dan Pembangunan Area 57 (Area 57) semalam, menurut pengasas syarikat berasaskan dron hari ini.

Pengasas Aerodyne Group Kamarul A. Mohamed dalam kenyataan hari ini berkata pembangunan Area 57 adalah perlu dalam usaha memacu ekonomi baru melalui industri dron.

Pengasas Poladrone Cheong Jin Xi dalam kenyataan yang sama berkata Area 57 merupakan inisiatif yang baik dan mampu membuka lebih banyak peluang bagi individu yang meminati teknologi dron.

Cheong berkata dalam situasi pandemik, dron juga perlu dikomersialkan khususnya bagi tujuan khidmat penghantaran menggunakan dron bagi mengurangkan kontak.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Lumba Dron Malaysia Mohd Fitri Reza berkata inisiatif ini akan menjadi sumber kekayaan baru bagi negara dalam tempoh lima tahun akan datang.

Justeru, Fitri berharap kerajaan dapat mewujudkan pusat sehenti perkembangan industri dron di semua negeri.

Pengasas Hobi Kami dan Kami Kaki Dron Amirul Aizad Amiruddin pula berharap penggunaan dron akan diperluas, seterusnya meletakkan Malaysia sebagai hab dron yang berpotensi di rantau Asean pada masa depan.

Semalam, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) Dr Adham Baba mengumumkan Area 57 adalah sebuah pusat kecemerlangan penyelidikan dan pembangunan serta pemerkasaan bakat yang dibangunkan oleh Taman Teknologi Malaysia (TPM) bagi memajukan perkembangan industri berfokus inovasi Unmanned Aerial Vehicle (UAV) dan Unmanned Aircraft Systems.

Area 57 adalah simbolik kepada kawasan seluas 2.03 hektar yang akan dijadikan infrastruktur bersepadu dan “sandbox” dengan penyediaan tujuh nilai cadangan iaitu menyelidik, membangun, menguji, memperakui mengilang, mengkomersial dan menyelenggara penyelesaian dan teknologi dron.