- Iklan -
Berita

Kelantan benar solat Jumaat, lima waktu mulai hari ini

Kakitangan masjid dan para jemaah yang hadir wajib menerima dos lengkap suntikan vaksin.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Pembantu kedai, Muhamad Danial Che Mohd Khairul Hazian, 18, memeriksa sebahagian kopiah yang dijual sebagai persediaan jualan menjelang Aidilfitri ketika tinjauan di hadapan Masjid Muhammadi di Kota Bharu, Kelantan pada 29 April, 2021. Gambar: Bernama
Pembantu kedai, Muhamad Danial Che Mohd Khairul Hazian, 18, memeriksa sebahagian kopiah yang dijual sebagai persediaan jualan menjelang Aidilfitri ketika tinjauan di hadapan Masjid Muhammadi di Kota Bharu, Kelantan pada 29 April, 2021. Gambar: Bernama

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) membenarkan pelaksanaan solat Jumaat dan solat fardu lima waktu di seluruh masjid negeri, bandar, jajahan, mukim, serta surau dan musala, berkuat kuasa mulai hari ini.

Yang Dipertua Maik Tengku Mohamad Rizam Abdul Aziz berkata kebenaran pelaksanaan solat berkenaan dalam tempoh Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) itu bagaimanapun hanya dibenarkan kepada jemaah yang terdiri daripada kakitangan masjid dan jemaah terpilih sahaja.

“Seramai 40 jemaah dibenarkan bagi solat fardu Jumaat di seluruh masjid negeri, bandar, jajahan dan mukim bermula esok dan had bilangan jemaah yang sama turut dibenarkan bagi pelaksanaan solat fardu lima waktu di masjid negeri, bandar, jajahan, mukim, surau dan musala.

“Pelaksanaan solat fardu Jumaat dan solat fardu lima waktu berkenaan turut mendapat perkenan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V sebagai ketua agama Islam negeri,” katanya dalam kenyataan di Kota Bharu malam tadi.

Rizam yang juga Tengku Temenggong Kelantan berkata kakitangan masjid dan para jemaah yang hadir wajib menerima dos lengkap suntikan vaksin.

Rizam berkata penerima vaksin jenis Pfizer, AstraZeneca dan Sinovac wajib melepasi hari ke-14 daripada tarikh suntikan dos kedua sebelum dibenarkan solat di masjid, surau dan musala.

“Manakala bagi penerima vaksin satu dos suntikan Johnson & Johnson dan CanSino, perlu melepasi hari ke-28 daripada tarikh suntikan, selain kakitangan masjid dan para jemaah yang hadir diwajibkan memakai pelitup muka dan digalakkan memakai dua lapis pelitup muka.

“Masa aktiviti di dalam masjid, surau, musala juga perlu disingkatkan untuk aktiviti yang wajib sahaja iaitu satu jam sebelum solat Jumaat dan 30 minit bagi solat fardu,” katanya.

Rizam berkata pengurusan masjid, surau, musala hendaklah membuat penandaan antara jemaah dengan jarak sekurang-kurangnya dua meter selain membuka semua pintu, tingkap dan kipas bagi memastikan sistem pengudaraan yang baik dan selamat.

“Tiada perkumpulan dibenarkan selepas selesai aktiviti di masjid selain semua aktiviti-aktiviti lain seperti kuliah, tadarus dan lain-lain adalah tidak dibenarkan,” katanya.

Rizam berkata pihak Maik amat mengharapkan kerjasama daripada semua pihak terutama umat Islam secara amnya dalam melaksanakan ketetapan ini dan tindakan sewajarnya akan diambil di atas kegagalan untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ini.