- Iklan -
Berita

Indonesia bimbang persaingan senjata selepas perjanjian kapal selam nuklear Australia-AS

Indonesia menggesa Australia untuk terus kekal dengan komitmennya dalam memastikan kestabilan wilayah tersebut.

Reuters
2 minit bacaan
Kongsi
Kapal selam USS Missouri berlepas dari Pangkalan Pearl Harbor-Hickam pada 1 September lalu. Gambar: AP
Kapal selam USS Missouri berlepas dari Pangkalan Pearl Harbor-Hickam pada 1 September lalu. Gambar: AP

Indonesia hari ini berkata ia bimbang dengan persaingan senjata di wilayah ini selepas Australia mengumumkan akan mendapatkan kapal selam berkuasa nuklear sebagai sebahagian daripada perikatan keselamatan baru Indo-Pasifik bersama Amerika Syarikat (AS) dan Britain.

Dikenali sebagai Aukus, perikatan baru itu akan menyaksikan Australia memperolehi teknologi nuklear bagi kapal selamnya yang dilihat bertujuan untuk menyekat pengaruh China.

Dalam kenyataan hari ini, kementerian luar negara Indonesia berkata pihaknya memandang serius dan waspada berhubung keputusan Australia tersebut bagi memperolehi kapal selam tersebut dan berkata ia “bimbang berhubung persaingan senjata di wilayah tersebut”.

Kementerian luar Indonesia juga turut menggesa Australia untuk terus kekal dengan komitmennya dalam memastikan kestabilan wilayah tersebut selain menegaskan supaya negara itu menghormati undang-undang antarabangsa.

Perdana Menteri Australia Scott Morrison memberitahu ABC radio pada Jumaat bahawa menteri pertahanan dan menteri luar negara telah dimaklumkan berhubung perancangannya dan kini sedang berusaha untuk berbincang dengan Presiden Indonesia Joko Widodo.

Wujud ketegangan ketika ini berhubung Laut China Selatan, sebuah kawasan strategik yang kaya dengan sumber minyak dan gas di mana beberapa negara cuba menyekat pengaruh China terhadap kawasan tersebut mendakwa ia memiliki sebahagian besar kawasan maritim tersebut.

Tentera laut Indonesia turut berkata ia telah meningkatkan pemantauan di pulau-pulau Natuna minggu ini selepas kapal China dan AS dikesan berada di perairan tersebut.

Awal minggu ini, pengerusi kesatuan nelayan Indonesia berkata nelayan negara itu juga turut mengesan enam kapal China termasuk kapal tempur.

“Kami risau, kami akan tersepit di tengah-tengah pertempuran antara kuasa-kuasa tersebut.

“Tak selamat untuk kami pergi ke laut untuk cari rezeki,” kata Hendri.

China tidak mendakwa kawasan pulau Natuna sebagai miliknya, namun mengatakan ia berhak untuk melakukan kerja-kerja tangkapan ikan di kawasan tersebutbut kerana masih berada di garisan maritim “Nine-Dash Line” yang didakwa sebagai wilayahnya – namun dakwaan itu dibantah sebahagian besar negara-negara Asia Tenggara dan tidak diiktiraf di peringkat antarabangsa.