- Iklan -
Berita

Guru di Perak hadapi 32 pertuduhan amang seksual terhadap pelajar lelaki

Mohd Faizal Amir mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Mohd Faizal Amir (tengah) di Mahkamah Sesyen Teluk Intan hari ini. Gambar: Bernama
Mohd Faizal Amir (tengah) di Mahkamah Sesyen Teluk Intan hari ini. Gambar: Bernama

Seorang guru sekolah menengah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini atas 32 pertuduhan melakukan seks luar tabii dan amang seksual fizikal terhadap tujuh pelajar lelaki sejak Julai hingga September tahun lepas.

Mohd Faizal Amir, 32, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan hakim Intan Nurul Farena Zainal Abidin.

Lelaki itu didakwa atas 10 pertuduhan melakukan seks luar tabii dan 22 pertuduhan melakukan amang seksual fizikal ke atas tujuh pelajar lelaki berusia 14 hingga 16 tahun, di rumah warden di sebuah sekolah menengah di Tapah antara 28 Julai dan 28 September 2020.

Bagi kesalahan seks luar tabii, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 377C Kanun Keseksaan  dan untuk pertuduhan amang seksual mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan Seksyen 14(d) Akta sama, yang kedua-duanya membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebat, jika sabit kesalahan.

Intan membenarkan tertuduh diikat jamin berjumlah RM55,000 dengan seorang penjamin atas semua pertuduhan dengan syarat tambahan iaitu, tertuduh tidak boleh mendekati dan mengganggu mangsa dan perlu melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali, serta menetapkan 15 November untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan timbalan pendakwa raya Cheah Shuh Yuan manakala tertuduh diwakili peguam Muhammad Farid Wajdi Hanif.