- Iklan -
Berita

Menteri Bersatu akan cadang kerajaan batal rayuan keputusan mahkamah berhubung kewarganegaraan

Cadangan itu diutarakan ketika keputusan untuk merayu pembatalan keputusan 9 September lepas dilihat hanya mendapat sedikit sokongan menteri Kabinet.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Beberapa orang wanita menunggu giliran untuk melakukan urusan di Jabatan Pendaftaran Negara. Kaum ibu yang memiliki anak kelahiran liar negara berdepan pelbagai halangan dalam usaha mendapatkan kerakyatan bagi anak mereka. Gambar: Bernama
Beberapa orang wanita menunggu giliran untuk melakukan urusan di Jabatan Pendaftaran Negara. Kaum ibu yang memiliki anak kelahiran liar negara berdepan pelbagai halangan dalam usaha mendapatkan kerakyatan bagi anak mereka. Gambar: Bernama

Beberapa menteri dari Bersatu bersetuju untuk mencadangkan Kabinet menasihati peguam negara supaya membatalkan rayuan kerajaan terhadap penghakiman Mahkamah Tinggi minggu lalu dalam usaha mempertahankan hak ibu warga Malaysia mendapatkan kewarganegaraan bagi anak yang lahir di luar negara.

Difahamkan Saifuddin Abdullah, Zuraida Kamaruddin dan Rina Harun bersetuju untuk memanjangkan syor tersebut esok susulan daripada perbincangan antara mereka bertiga.

Perkara tersebut akan dibawa ke Kabinet oleh Rina yang merupakan menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat.

“Harapnya esok dapat keputusan yang baik,” kata Saifuddin dalam sebuah ciapan Twitter.

Satu sumber dalam kementerian luar negara berkata wujud kebimbangan berkenaan amalan ketika ini yang tidak mengiktiraf kewarganegaraan anak kelahiran luar negara oleh ibu warga Malaysia bakal menjadi halangan dalam usaha Putrajaya menjadi anggota Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC).

Pada 2019, Saifuddin yang ketika itu merupakan menteri luar negara berkata Putrajaya mahu dipilih ke dalam UNHRC, sebuah langkah yang mula dilaksanakan Hishammuddin Hussein ketika beliau mengumumkan usaha Malaysia bagi tujuan itu sepanjang temph 2022-2024.

Sebelum ini, Putrajaya menyatakan komitmennya untuk membantu pelarian Rohingya dalam langkah yang dilihat dapat menarik anggota PBB mempertimbangkan kredibiliti negara berhubung hak asasi manusia.

“Kes ini boleh menjadi satu lagi halangan terhadap usaha Malaysia menganggotai UNHRC. Jadi, ada satu kelegaan di Wisma Putra jika kerajaan batalkan rayuan tersebut,” kata sumber itu kepada MalaysiaNow.

Malaysia pertama kali menganggotai majlis PBB itu pada 2006 namun keanggotaannya tidak disambung selepas 2013.

Tekanan semakin memuncak terhadap Putrajaya selepas menteri dalam negeri dan pengarah Jabatan Pendaftaran Negara memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi 9 September lalu yang dibuat oleh hakim Akhtar Tahir.

Beliau memutuskan wanita Malaysia yang berkahwin dengan lelaki asing memiliki hak yang sama dengan lelaki warga Malaysia yang berkahwin dengan wanita asing dalam mewariskan kewarganegaraan kepada anak yang dilahirkan di luar negara.

Saman tersebut difailkan 18 Disember tahun lalu oleh Family Frontiers dan enam wanita Malaysia yang berkahwin dengan lelaki warga asing.

Ketika Perlembagaan membenarkan lelaki Malaysia yang berkahwin dengan wanita asing mendapatkan hak automatik kerakyatan bagi anak kelahiran luar negara, ia bagaimanapun tidak berlaku kepada ibu-ibu warga Malaysia yang berkahwin dengan lelaki asing dengan ramai dalam kalangan mereka berdepan pelbagai sekatan dalam usaha membawa pulang anak mereka ke negara ini.

Selain tiga menteri Bersatu tersebut, dua lagi menteri turut menyuarakan sokongan mereka untuk memberikan hak yang adil kepada wanita Malaysia berhubung kerakyatan anak-anak mereka.

Pemimpin Umno Annuar Musa dalam ulasan ringkasnya baru-baru ini menggesa pihak berkuasa untuk “mendengar suara ibu Malaysia”, sementara Wan Junaidi Tuanku Jaafar dari GPS yang merupakan menteri undang-undang turut menyokong keputusan tersebut, mengatakan ia selari dengan jaminan Perlembagaan yang tidak mendiskriminasi.