Thursday, September 23, 2021

Zahid tidak pernah janji projek mega MyEG kepada ahli perniagaan, kata peguam

Peguam Zahid berhujah Junaith Asharab Md Shariff telah memberi keterangan secara bersumpah bahawa 23 cek berjumlah RM13 juta itu tidak diberikan sebagai rasuah atau dorongan.

Other News

Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu Ahmad Zahid Hamidi tidak pernah menjanjikan pemborong tekstil mana-mana projek MyEG sebagai balasan untuk pemberian 23 cek berjumlah RM13 juta yang diberi kepadanya melalui firma guaman Tetuan Lewis & Co, yang merupakan pemegang amanah Yayasan Akalbudi milik Zahid.

Peguam utama Hisyam Teh Poh Teik, yang mewakili Zahid berhujah pemborong tekstil yang juga saksi pendakwaan ke-36, Junaith Asharab Md Shariff yang telah memberi keterangan secara bersumpah bahawa 23 cek berjumlah RM13 juta itu tidak diberikan sebagai rasuah atau dorongan.

“Junaith dalam keterangannya berkata ia adalah sumbangan peribadi beliau atau derma untuk tujuan keagamaan atau kebajikan, yang bertujuan untuk membina masjid dan sekolah tahfiz.

Pertuduhan nombor 12 dan 13, daripada 47 pertuduhan yang dihadapi anak guam saya tidak boleh dipertahankan, kerana keterangan telah menunjukkan RM13 juta yang dikaitkan dengan pertuduhan itu adalah untuk pembinaan masjid dan sekolah tahfiz di Bagan Datuk,” katanya dalam hujahan balas di akhir kes pendakwaan di hadapan hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Pertuduhan ke-12 itu mendakwa Zahid menerima rasuah daripada Mastoro Kenny IT Consultant & Services, dalam bentuk 13 cek RHB Islamic Bank Berhad berjumlah RM8 juta milik Mastoro Kenny IT Consultant & Services melalui Junaith Asharab Md Shariff menerusi akaun Maybank Lewis & Co.

Pertuduhan ke-13 mendakwa Zahid menerima rasuah daripada Mastoro Kenny IT Consultant & Services, dalam bentuk 10 cek RHB Islamic Bank Berhad sebanyak RM5 juta milik Berani Jujur Trading melalui Junaith Asharab Md Shariff menerusi akaun Maybank Lewis & Co.

Zahid dituduh melakukan dua kesalahan itu sebagai dorongan untuk membantu Mastoro Kenny IT Consultant & Services mendapatkan projek MyEG yang dikendalikan kementerian dalam negeri.

Hisyam kemudian merujuk mahkamah kepada keterangan saksi, Junaith yang menyatakan bahawa beliau (Junaith) dan adik kepada Zahid, Mohamad Nasaee Ahmad Tarmizi pergi berjumpa Zahid di kediamannya untuk menyerahkan cek bagi tujuan kebajikan untuk membina masjid dan sekolah tahfiz itu.

“Semasa pemeriksaan balas Junaith, beliau juga telah mengesahkan bahawa 13 dan 10 cek dari dua syarikat, Mastoro Kenny dan syarikat tekstil yang diusahakannya, Berani dan Jujur Trading adalah untuk tujuan amal dan derma.

“Malah semasa pemeriksaan balas, Junaith juga mengesahkan tertuduh tidak pernah menjanjikan sebarang projek MyEG,” katanya.

Hisyam seterusnya menegaskan dakwaan bahawa cek itu diberikan sebagai dorongan agar tertuduh mendapatkan projek untuk Mastoro Kenny adalah tidak berasas.

Zahid, 68, menghadapi 47 tuduhan – 12 tuduhan pecah amanah, lapan tuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram – melibatkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Pihak pembelaan akan menyambung penghujahannya pada 20 Sept.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles