Tuesday, September 28, 2021

Kementerian pertahanan bantu kelancaran pembukaan sekolah, kata Hishammuddin

Kementerian pertahanan dan pendidikan akan bekerja rapat untuk memastikan keselamatan sektor pendidikan yang akan dibuka Oktober depan.

Other News

Kementerian pertahanan akan memberi bantuan dan bekerjasama bagi memastikan pembukaan sesi persekolahan secara berperingkat mulai 3 Oktober ini berjalan lancar termasuk di semua sekolah dalam kem Angkatan Tentera Malaysia (ATM) seluruh negara.

Menteri Kanan Pertahanan Hishammuddin Hussein berkata kerjasama itu membabitkan konteks persiapan sebelum pembukaan sekolah seperti susun atur bilik darjah, melancarkan pemberian vaksin kepada murid dan pelajar,  menyediakan kit ujian Covid-19 serta memperkasa pusat tuisyen dalam ATM.

“Saya memberi keyakinan, syor dan semangat kepada Menteri Kanan Pendidikan Radzi Jidin bahawa kita semua sentiasa bersama dengannya sebab apa dia lakukan ini untuk kebaikan mereka (pelajar) dan masa depan mereka,” katanya dalam sidang media bersama Radzi di Wisma Pertahanan hari ini.

Terdahulu, Hishammuddin mengadakan mesyuarat bersama Radzi yang turut disertai Timbalan Menteri Kesihatan Noor Azmi Ghazali, pegawai Majlis Keselamatan Negara (MKN), Markas ATM dan pasukan Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Sesi persekolahan secara bersemuka bermula 3 Oktober ini adalah mengikut fasa PPN di negeri-negeri menggunakan kaedah penggiliran murid secara mingguan dengan kadar 50% daripada jumlah keseluruhan bagi mengurangkan jumlah murid dalam kelas dan risiko penularan Covid-19.

Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata pihaknya akan bekerjasama rapat dengan Kementerian Pendidikan dalam usaha memperkasa pusat tuisyen di dalam kem ATM termasuk menambah baik modul pembelajaran serta memberi latihan kepada tenaga pengajar.

Mengenai aspek pemberian vaksin Covid-19 kepada pelajar termasuk anak warga ATM, Hishammuddin berkata Kor Kesihatan Diraja sentiasa bersedia untuk diatur gerak bila-bila masa bagi membantu Kementerian Kesihatan termasuk melalui “Combat Medic Vaccination Team”.

Katanya, proses pemberian vaksin kepada guru-guru di sekolah dalam kem ATM seluruh negara berjalan lancar dan setakat ini sebanyak 1,990 daripada 2,169 orang telah melengkapkan vaksinasi mereka.

“Ini perkembangan yang baik terutama dalam konteks kesihatan menjelang permulaan sesi pembelajaran secara bersemuka antara guru dan murid-murid di beberapa buah negeri tidak lama lagi,” katanya.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles