Thursday, September 23, 2021

‘Kabinet bayangan’ PKR diketuai Anwar, isteri

Sementara anak perempuan mereka diberi peranan untuk menjadi jurucakap utama bagi portfolio yang pernah dipegang ibunya sebelum ini.

Other News

PKR mengumumkan barisan ahli Parlimennya yang masing-masing ditugaskan sebagai jurucakap bagi portfolio kementerian diketuai presiden parti Anwar Ibrahim dan isterinya Dr Wan Azizah Wan Ismail di puncak hirarki tersebut.

Anwar adalah ketua pembangkang sementara Wan Azizah dinamakan sebagai pengerusi majlis penasihat PKR dalam sebuah senarai yang dilihat sebagai Kabinet bayangan parti itu diumumkan oleh setiausaha organisasinya, Nik Nazmi Nik Ahmad hari ini.

Dalam pada itu, anak perempuan mereka Nurul Izzah dilantik untuk mengetuai pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat, sebuah portfolio yang pernah dipegang ibunya ketika Pakatan Harapan (PH) mengetuai pentadbiran kerajaan.

Pemimpin-pemimpin kanan lain dalam parti itu yang turut dimasukkan dalam barisan jurucakap tersebut adalah Johari Abdul yang memegang dua portfolio (pertahanan dan hal ehwal dalam negeri), selain Saifuddin Nasution Ismail (kewangan dan hal ehwal pengguna), dan Nik Nazmi (pendidikan).

Ahli Parlimen Padang Serai Karuppaiya Muthusamy dinamakan sebagai timbalan Johari, beliau antara yang dimasukkan ke dalam senarai ahli Parlimen PKR yang diberikan peranan sebagai “pembantu jurucakap”.

Dalam kumpulan pembantu jurucakap, senarai itu termasuk Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah, Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim, Ahli Parlimen Wangsa Maju Tan Yee Kew, dan Ahli Parlimen Tawau yang juga merupakan bekas timbalan ketua menteri Sabah, Christina Liew.

Nik Nazmi berkata peranan-peranan jurucakap Parlimen itu ditambah baik daripada senarai serupa yang diumumkan pada Julai tahun lalu.

“Kami menyedari sistem baru ini perlu ditambah baik memandangkan PKR komited memperkasakan Parlimen.

“Ini selaras tekad parti-parti PH yang menekankan reformasi institusi Parlimen sebagaimana terkandung di dalam memorandum persefahaman (MoU) kerajaan dan Pakatan Harapan,” tambahnya.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles