- Iklan -
Berita

54.1% populasi lengkap vaksinasi Covid-19

Sebanyak 104 kematian sebenar harian Covid-19 direkodkan dalam tempoh 24 jam, dengan 359 kes kematian tertunggak.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Orang Asli di daerah Hulu Langat menerima vaksinasi daripada petugas kesihatan.
Orang Asli di daerah Hulu Langat menerima vaksinasi daripada petugas kesihatan.

Sebanyak 54.1% atau 17,653,079 individu daripada keseluruhan populasi di negara ini sudah melengkapkan suntikan vaksin Covid-19, setakat semalam.

Kementerian Kesihatan menerusi perkongsian di covidnow.moh.gov.my memaklumkan sebanyak 66.3% atau 21,649,228 individu pula telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19.

Bagi vaksinasi harian pula, sebanyak 243,971 dos vaksin diberikan semalam menjadikan keseluruhan dos yang diberikan menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) meningkat kepada 39,234,306 dos.

Sementara itu, setakat 11.59 malam 14 September, sebanyak 104 kematian sebenar harian Covid-19 direkodkan dalam tempoh 24 jam, dengan 359 kes kematian tertunggak atau “backlog”.

Perkembangan terbaru itu menjadikan jumlah keseluruhan kematian akibat Covid-19 di Malaysia meningkat kepada 21,587 kes.