- Iklan -
Berita

10 individu didakwa palsukan sijil vaksin

Seorang disabitkan kesalahan itu di Sarawak di mana mahkamah telah memberi sabitan dan dihukum penjara.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Wujud individu tidak bertanggungjawab memalsukan sijil untuk menikmati kelonggaran SOP dalam Pelan Pemulihan Negara.
Wujud individu tidak bertanggungjawab memalsukan sijil untuk menikmati kelonggaran SOP dalam Pelan Pemulihan Negara.

Sebanyak 10 individu telah didakwa di mahkamah kerana memalsukan sijil suntikan vaksin, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Ismail Mohamed Said.

Beliau berkata ia melibatkan empat individu di Sarawak, masing-masing dua individu di Sabah dan Melaka serta masing-masing satu individu di Kelantan dan Perak.

“Seorang telah disabitkan kesalahan iaitu di Sarawak di mana mahkamah telah memberi sabitan dan dihukum penjara,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Shaharizukirnain Abd Kadir (PAS-Setiu) mengenai jumlah mereka yang diambil tindakan kerana memalsukan sijil suntikan vaksin di negara ini.

Ismail berkata bagi golongan yang memalsukan sijil suntikan vaksin, tindakan undang-undang boleh diambil mengikut Seksyen 22 (d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).