Saturday, October 23, 2021

Warisan, Pejuang selar PH, tolak MoU bersama kerajaan

Warisan dan Pejuang mendakwa mereka tidak dilibatkan dalam rundingan Pakatan Harapan bersama kerajaan.

Other News

Warisan menolak Memorandum Persefahaman untuk Transformasi dan Kestabilan Politik yang ditandatangani antara kerajaan dan pembangkang, mendakwa mereka tidak dilibatkan dalam rundingan yang disifatkan sepihak antara kerajaan dan gabungan Pakatan Harapan (PH).

Ahli Parlimen Kalabakan Ma’mun Sulaiman dari Warisan berkata, perkara itu ditegaskan sendiri oleh presiden partinya, Mohd Shafie Apdal.

Ma’mun berkata, Shafie jelas menyatakan Warisan menolak perjanjian perjanjian keyakinan dan pembekalan (CSA) yang direka oleh PH kerana tidak mengetahui kandungan Perjanjian Persefahaman (MoU) yang dimeterai semalam.

“Malah, Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) juga tidak diberi ruang untuk tandatangan dengan alasan penyertaan Upko belum diterima secara rasmi,” katanya seperti dilaporkan portal Borneo Today.

Menurutnya, selain tidak melihat usaha kerajaan dan PH mahu membantu dalam menunaikan tuntutan Sabah seperti Perjanjian Malaysia 1963, Warisan juga tidak mahu mengambil risiko untuk kehilangan hak semak dan imbang terhadap pentadbiran kerajaan persekutun.

Beliau berkata hak itu akan terhapus sekiranya perjanjian CSA ditandatangani.

“Kita yakin dengan keputusan tegas kepimpinan Warisan agar kita tidak lari daripada perjuangan asal iaitu ingin mengembalikan hak-hak rakyat Sabah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penerangan Pejuang Ulya Husamudin turut membidas kenyataan Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke yang mengatakan Pejuang dan Warisan tidak bersedia menandatangani MoU tersebut.

“Taklimat dan minta kami setuju dengan keputusan yang anda putuskan daripada beberapa rundingan dengan Umno dan Hamzah Zainuddin bukannya perbincangan,” katanya dalam sebuah ciapan Twitter merujuk kepada menteri dalam negeri.

Warisan mempunyai lapan kerusi Parlimen sementara Pejuang mempunyai empat.

Pejuang ditubuhkan oleh bekas pemimpin-pemimpin Bersatu yang bersama bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad.

Pengerusi Pejuang Wilayah Persekutuan Khairuddin Abu Hassan turut menyuarakan penentangannya terhadap Mou tersebut mendakwa partinya tidak dimaklumkan dalam perbincangan CSA antara kerajaan dan PH.

“Apa saja perjumpaan atau perbincangan dengan kerajaan mengenai kepentingan bersama mestilah juga dimaklumkan kepada kawan-kawan secara telus!

“Janganlah bersikap hanya untuk mempergunakan kawan-kawan bagi agenda kepentingan diri masing-masing saja!! Ini adalah satu sikap yang tidak baik sama sekali!” katanya dalam sebuah bebenang Twitter semalam.

MoU semalam adalah peristiwa bersejarah dalam negara menyaksikan wakil-wakil kerajaan dan sebahagian besar pembangkang sepakat dengan beberapa dasar bagi mengembalikan kestabilan politik ketika negara berdepan dengan pandemik Covid-19.

Selepas beberapa pusingan rundingan antara Putrajaya dan PH, mereka bersetuju untuk melaksanakan pendekatan dwi partisan dalam usaha pemulihan negara berdepan impak pandemik.

MoU tersebut turut menyenaraikan enam perkara termasuk; pemerkasaan pelan Covid-19, transformasi pentadbiran, pembaharuan Parlimen, kebebasan institusi kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 dan pembentukan jawatankuasa pemandu.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles