- Iklan -
Berita

UK tawarkan vaksinasi pilihan bagi kanak-kanak berusia 12 hingga 15 tahun

Jawatankuasa Bersama Vaksinasi dan Imunisasi United Kingdom kini sedang mengumpulkan data terperinci bagi dos kedua kepada kanak-kanak.

AFP
1 minit bacaan
Kongsi
Kanak-kanak di Britain diberikan pilihan untuk menerima vaksin Covid-19. Gambar: Reuters
Kanak-kanak di Britain diberikan pilihan untuk menerima vaksin Covid-19. Gambar: Reuters

Semua kanak-kanak berusia 12 hingga 15 tahun akan diberikan vaksin Covid-19 tetapi tidak diwajibkan untuk berbuat demikian, kata ketua pegawai perubatan (CMO) United Kingdom (UK).

Britain antara negara yang paling teruk dilanda Covid-19 dengan lebih 134,000 kematian.

Walaupun program vaksinasi di negara itu dianggap berjaya, jumlah kes tetap tinggi akibat penularan varian Delta, dan penduduknya bimbang jumlah kes meningkat dengan pembukaan sekolah selepas cuti musim panas.

“Saya sudah menerima syor daripada ketua pegawai perubatan untuk luaskan vaksinasi kepada mereka yang berusia 12 hingga 15 tahun, bagi melindungi kanak-kanak dari Covid-19 dan mengurangkan penularan di sekolah dan kelas pembelajaran,” kata Menteri Kesihatan Sajid Javid.

Program vaksinasi dalam kalangan kanak-kanak di UK menimbulkan isu walaupun beberapa negara lain telah mengambil keputusan untuk memberi suntikan kepada golongan tersebut.

Jawatankuasa Bersama Vaksinasi dan Imunisasi (JCVI), yang menasihati Jabatan Kesihatan UK mengenai imunisasi sebelum ini berkata margin manfaat berdasarkan perspektif kesihatan dianggap terlalu kecil untuk menyokong pemberian vaksin kepada kanak-kanak sihat berusia 12 hingga 15 tahun.

Bagaimanapun CMO England, Scotland, Wales dan Ireland Utara mengatakan vaksinasi kepada golongan berkenaan perlu dilakukan selepas mengambil kira isu lebih luas seperti pendidikan dan kesihatan mental.

CMO berkata pemberian vaksin kepada kanak-kanak berusia 12 hingga 15 tahun akan membantu mengurangkan penularan Covid-19 di sekolah, dengan kira-kira tiga juta kanak-kanak yang layak berpotensi diberikan dos pertama vaksin Pfizer.

Menurut mereka, Covid-19 adalah penyakit mudah menular terutama selepas kemundulan varian Delta.

CMO turut mencadangkan kanak-kanak diberikan satu dos suntikan vaksin Pfizer-BioNTech.

JCVI kini diminta mengumpulkan data terperinci mengenai keperluan dos kedua.