- Iklan -
Berita

Hakim soal peguam Zahid, mengapa sumbangan diterima dalam bentuk tunai

Sumbangan derma bernilai berjuta ringgit dikatakan daripada Yayasan Albukhary kepada Yayasan Akalbudi.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi di Mahkamah Tinggi hari ini. Gambar: Bernama
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi di Mahkamah Tinggi hari ini. Gambar: Bernama

Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah yang mendengar perbicaraan kes Ahmad Zahid Hamidi hari ini menyoal pasukan pembelaan mengapa sumbangan derma bernilai berjuta ringgit dikatakan daripada Yayasan Albukhary kepada Yayasan Akalbudi tidak dalam bentuk cek tetapi dalam wang tunai.

Persoalan itu ditujukan kepada ketua pihak pembelaan Hisyam Teh Poh Teik apabila beliau berhujah mengapa pertuduhan ke-27 pengubahan wang haram ke atas Zahid perlu digugurkan.

Sequerah: Semua wang tunai yang disumbangkan Yayasan Albukhary kepada Yayasan Akalbudi akan lebih mudah jika hanya menulis sekeping cek. Mengapa perlu membawa tunai yang penuh dalam sebuah bag?

Hisyam: Itulah aduan kami Yang Arif. Pihak pendakwaan tidak menyiasatnya. Ia hanya boleh dijawab oleh Yayasan Albukhary.

“Kami bertanya kepada pegawai penyiasat, pegawai penyiasat berkenaan tidak pernah menyiasat. Oleh kerana tiada siasatan, kita tidak boleh kata ia adalah hasil daripada kegiatan yang menyalahi undang-undang. Hanya dan sehingga mereka menyiasat, hanya dan sehingga mereka memanggil seorang saksi daripada Yayasan Albukhary di hadapan Yang Arif dan memberikan bukti.

“Tiada siasatan kerana tiada siasatan tidak boleh dikatakan ini adalah hasil daripada kegiatan haram, pertuduhan gugur. Kesimpulannya, kami mencabar dan mengajak pihak pendakwaan menunjukkan kepada kami bukti Yayasan Albukhary tidak pernah memberi sumbangan, “ katanya.

Pada 27 Julai tahun lepas, seorang saksi Omar Ali Abdullah pengurup wang yang didakwa mengubah wang bagi pihak Zahid memberitahu mahkamah bahawa bekas timbalan perdana menteri itu meminta beliau membantu mendepositkan sumbangan kebajikan ke dalam akaun badan kebajikan Yayasan Akalbudi.

Saksi ke-81 pendakwaan itu berkata beberapa lelaki daripada Yayasab Albukhary akan menghubunginya dan bertemu di beberapa lokasi.

Beliau berkata apabila beliau menerima panggilan pertama daripada individu yang tidak dikenali dan meminta untuk berjumpa beliau di Plaza Fahrenheit, di Kuala Lumpur, lelaki itu kemudiannya memberikan beliau sebuah bagasi berisi wang tunai.

Zahid, 68, berdepan 47 pertuduhan iaitu 12 pecah amanah jenayah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram membabitkan berpuluh-puluh juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Pihak pembelaan akan menyambung penghujahan esok.