- Iklan -
Berita

Dengar suara ibu, kata Annuar ketika Putrajaya mulakan rayuan berhubung kerakyatan

Menteri komunikasi itu berkata isu tersebut perlu dibawa ke meja Kabinet.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa.

Annuar Musa dilihat menyokong hak kaum ibu Malaysia untuk mewariskan kerakyatan mereka secara automatik kepada anak yang lahir di luar negara, ketika kritikan memuncak terhadap keputusan Putrajaya untuk merayu keputusan mahkamah baru-baru ini.

“Saya berpandangan suara para ibu rakyat Malaysia harus kita dengari,” kata menteri komunikasi dan multimedia itu dalam ulasan ringkasnya.

Beliau berkata oleh kerana isu tersebut menyentuh soal dasar dan perundangan, ia perlu dibincang di Kabinet.

“Saya percaya Kabinet adalah forum paling sesuai meneliti hal ini dalam semangat Keluarga Malaysia,” katanya merujuk konsep yang dipromosi Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Sekurang-kurangnya dua orang menteri mengalu-alukan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur minggu lalu yang membenarkan ibu warga Malaysia yang berkahwin dengan lelaki warga asing berhak mewariskan kerakyatan kepada anaknya secara automatik.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Zuraida Kamaruddin juga turut menggesa kerajaan untuk melaksanakan keputusan tersebut sementara Menteri Undang-Undang Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata keputusan mahkamah tersebut selari dengan Perlembagaan yang menjamin tiada diskriminasi.

Bagaimanapun, Putrajaya berkata ia akan memulakan rayuan terhadap keputusan mahkamah tersebut menyebabkan kritikan daripada kumpulan hak asasi dan ahli politik pembangkang.

Pada 9 September lalu, hakim Akhtar Tahir wanita warga Malaysia yang berkahwin dengan lelaki asing memiliki hak yang sama dengan lelaki yang berkahwin dengan wanita asing.

Saman tersebut difailkan kumpulan hak asasi Family Frontiers dan enam wanita warga Malaysia yang berkahwin dengan lelaki warga asing, pada 18 Disember tahun lalu.

Mereka menuntut enam perintah mahkamah termasuk pengisytiharan Artikel 8 (2) Perlembagaan Persekutuan yang dibaca bersama dengan Artikel 14 (1) (b) Perlembagaan Persekutuan yang tidak bercanggah dengan Bahagian (1) (b) Bahagian II Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan bagi memasukkan bayi kepada ibu warga Malaysia yang dilahirkan di luar negara boleh mendapat kerakyatan secara automatik.