- Iklan -
Berita

KKM, MKN sediakan SOP khas bagi sidang Parlimen

26 daripada 1,801 individu yang menjalankan ujian saringan Covid-19 di bangunan Parlimen pada 10 dan 11 September, dikenal pasti positif Covid-19.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Petugas kesihatan menjalankan sanitasi kawasan Parlimen ketika Covid-19 dikesan di kawasan itu Julai lalu. Gambar: Bernama
Petugas kesihatan menjalankan sanitasi kawasan Parlimen ketika Covid-19 dikesan di kawasan itu Julai lalu. Gambar: Bernama

Parlimen Malaysia dengan kerjasama kementerian kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah menyediakan beberapa prosedur operasi standard (SOP) khas bagi memastikan kelancaran perjalanan sesi Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen Ke-14 yang bermula hari ini, selain mengurangkan risiko penularan jangkitan Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata antara SOP yang perlu dipatuhi semua individu yang akan memasuki Bangunan Parlimen adalah mereka yang telah menerima vaksinasi lengkap dan melebihi 14 hari dari tarikh dos terakhir, menjalani ujian saringan Covid-19 secara Tindak Balas Berantai Polimerase (RT-PCR)  dalam masa tiga hari sebelum memasuki bangunan itu (kali pertama sahaja).

“Selain itu, sepanjang tempoh persidangan Parlimen berlangsung, semua hadirin yang hadir ke Bangunan Parlimen perlu menjalani ujian kendiri pengesanan jangkitan Covid-19 seperti yang ditetapkan oleh pihak Parlimen,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata KKM turut menasihatkan agar semua individu yang akan hadir ke Parlimen dikehendaki untuk mematuhi SOP dan peraturan-peraturan sedia ada bagi memastikan mesyuarat dapat berjalan lancar, selamat serta penularan Covid-19 dapat dicegah di kawasan Parlimen.

Sementara itu beliau berkata seramai 26 daripada 1,801 individu yang menjalankan ujian saringan Covid-19 di Bangunan Parlimen pada 10 dan 11 September, dikenal pasti positif Covid-19 dan  kes yang dilaporkan itu merupakan hasil ujian RT-PCR yang melibatkan seorang senator dan 25 kakitangan parlimen.

Beliau berkata selain daripada itu, terdapat juga dua ahli Parlimen dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan di luar bangunan itu dalam tempoh sama.

“Hasil siasatan awal mendapati kesemua individu positif telah lengkap vaksinasi dan 15 daripada mereka adalah kes disahkan Covid-19 sebelum ini iaitu di antara 27 Mei 2021 hingga 1 September 2021, manakala 13 individu pula baharu sahaja dikesan positif buat pertama kali semasa saringan 10 sehingga 11 September 2021.

“Dua kes mempunyai kadar kebolehjangkitan yang tinggi dengan nilai CT atau nilai kitaran ambang RT-PCR di antara 17.57 sehingga 20.58, dan 26 kes dengan nilai CT di antara 21.95 sehingga 38.23,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata ujian PCR “genotyping assay” yang dijalankan mendapati 18 sampel berkemungkinan besar adalah Varian Delta dan satu berkemungkinan besar adalah varian Beta.

Katanya, bagi mengesahkan jenis varian ini, Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) telah mula menjalankan penjujukan seluruh genom Covid-19.

Dalam pada itu, beliau berkata antara langkah yang diambil bagi mengekang penularan virus itu di Bangunan Parlimen ialah individu yang kali pertama disahkan positif ini (13 kes) tidak dibenarkan hadir ke sidang parlimen.

“Mereka telah diasingkan dan diberi perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO). Siasatan dan penilaian risiko masih dijalankan untuk menentukan kaitan epidemiologi di antara satu sama lain serta mengenal pasti kontak rapat,” katanya.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan bahawa individu yang pernah disahkan Covid-19 sebelum ini (15 kes), akan disiasat semula untuk menilai tahap kesihatan dan jangkitan semasa supaya tindakan lanjut dapat diambil.

“Tindakan ini penting bagi mengenal pasti dengan lebih lanjut status jangkitan mereka memandangkan terdapat di kalangan mereka yang masih mempunyai gejala ringan. Buat masa ini, mereka juga tidak dibenarkan hadir ke sidang Parlimen sehingga diberi keputusan akhir penilaian kementerian kesihatan Malaysia,” katanya.