Sunday, October 17, 2021

Bukan semua sekolah akan dibuka 3 Oktober, kata menteri pendidikan

Menteri Pendidikan Radzi Jidin menegaskan tiada sekolah akan dibuka di negeri yang masih berada dalam Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Other News

Menteri Pendidikan Radzi Jidin sekali lagi menjelaskan tidak semua sekolah di seluruh negara akan dibuka pada 3 Oktober depan, menjawab kekeliruan terhadap pengumuman pembukaan sekolah menerusi sidang media yang dibuat petang semalam.

Radzi yang juga menteri kanan menegaskan tiada sekolah akan dibuka di negeri yang masih berada dalam Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Bagi negeri Fasa Dua, pembukaan sekolah rendah hanya melibatkan Murid Berkeperluan Khas (MBK) di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK) dan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI),” katanya menerusi perkongsian video hari ini.

“Untuk sekolah menengah di negeri fasa ini, hanya melibatkan murid Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) semester dua kerana mereka akan menduduki peperiksaan pada akhir Oktober depan.”

Semalam Radzi mengumumkan pembukaan semula sekolah di seluruh negara akan dilaksanakan berdasarkan fasa-fasa yang ditetapkan di bawah PPN dengan sistem giliran di mana pelajar bagi setiap kelas akan dibahagikan kepada dua kumpulan bagi menjalani sesi persekolahan secara bersemuka bermula 3 Oktober depan.

Katanya, berkata keputusan tersebut diambil selepas penelitian kementerian pendidikan yang mendapati penting untuk memastikan pelajar tidak terlalu lama berada di rumah tanpa menjalani sesi persekolahan.

Dalam penjelasannya hari ini, beliau berkata bagi negeri yang beralih ke Fasa Tiga, tambahan bagi sekolah rendah melibatkan murid pra sekolah manakala kategori sekolah menengah membabitkan murid tingkatan lima dan murid STPM yang lain.

“Bagi Fasa Empat, minggu pertama iaitu dari 3 hingga 17 Oktober, yang akan berada di sekolah rendah dan menengah adalah sama seperti di Fasa Tiga.

“Bermula 17 Oktober, tambahan murid sekolah rendah melibatkan murid tahun satu, dua dan tiga manakala tahun empat, lima dan enam akan masuk selepas akhir Oktober,” katanya.

Tambah beliau, murid tingkatan tiga dan empat akan dibenarkan masuk ke sekolah selepas 17 Oktober manakala tingkatan satu dan dua akan masuk selepas 31 Oktober.

“Semalam saya jelaskan mengenai penggiliran iaitu kapasiti 50% dan kemasukan secara berperingkat adalah demi memastikan anak-anak kita dapat terus rapat dengan sekolah dan hadir dalam keadaan selamat,” katanya.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles