- Iklan -
Berita

Sesi persekolahan dilanjut hingga Mac 2022

Tahap penguasaan murid akan dinilai bagi memberi bantuan dan sokongan yang diperlukan.

Azzman Abdul Jamal
2 minit bacaan
Kongsi
Beberapa murid melintas jalan sambil dibantu pengawal keselamatan di Sekolah Kebangsaan Taman Tasik, Ampang pada Mac lalu.
Beberapa murid melintas jalan sambil dibantu pengawal keselamatan di Sekolah Kebangsaan Taman Tasik, Ampang pada Mac lalu.

Menteri Pendidikan Radzi Jidin berkata, sesi persekolahan tahun ini dilanjutkan hingga Mac 2022.

Katanya, ini bermakna murid akan kekal pada tahun persekolahan masing-masing pada bulan Januari dan Februari tahun depan sebelum naik ke kelas berikutnya pada Mac.

Katanya, pihak sekolah akan gunakan tempoh dua bulan itu untuk melihat tahap penguasaan murid dan memberi bantuan dan sokongan yang diperlukan sebelum mereka naik ke peringkat seterusnya.

“Murid yang mempunyai tahap penguasaan yang lemah, maka fokus pada waktu itu adalah melaksanakan program intervensi bagi membolehkan mereka menguasai tahap minimum sebelum naik ke kelas selanjutnya.

“Bagi murid yang cemerlang, tempoh ini digunakan untuk mengukuhkan lagi pemahaman dan membantu mereka naik ke tahun berikutnya dalam suasana yang lebih bersedia,” katanya pada satu sidang media hari ini.

Ekoran pelaksanaan itu, Radzi berkata, kemasukan murid tahun satu ke sesi persekolahan 2022 akan bermula pada Mac 2022.

“Untuk tahun 2022, kami akan melaksanakan sesi akademik 2022/2023.

“Sama ada ingin kekalkan sesi persekolahan bermula pada Mac, itu kami sedang teliti berdasarkan sesi libat urus yang kami sedang laksanakan dengan pelbagai pihak

“Saya akan maklumkan perkara ini pada peluang akan datang,” katanya.

Mengulas mengenai pengoperasian dan pengurusan sekolah, beliau berkata, murid sekolah kini diwajibkan untuk memakai pelitup muka di dalam kawasan sekolah.

“Ketika waktu rehat, semua murid akan makan di dalam kelas semasa waktu rehat dengan seliaan guru, manakala kelas yang menggunakan penyaman udara, murid akan makan di ruang terbuka.”

Sementara itu, katanya, murid yang bergejala dari rumah tidak dibenarkan hadir ke sekolah dan jika didapati bergejala ketika di sekolah, ujian saringan Covid-19 akan dilaksanakan.

“Aktiviti kokurikulum tidak dibenarkan, bagaimanapun kelas PJPK dibenarkan dan murid hendaklah berpakaian sukan dari rumah,” katanya.

Mengulas lanjut, Radzi berkata, murid dibenarkan memakai pakaian yang sesuai dan kemas sekiranya pakaian seragam sedia ada tidak lagi sesuai dipakai.

“Sekiranya ibu bapa atau penjaga memilih untuk tidak menghantar anak ke sekolah, ketidakhadiran itu tidak akan dianggap sebagai satu kesalahan disiplin, namun ia perlu dimaklumkan kepada pihak sekolah untuk tujuan rekod.”