Friday, October 22, 2021

20 tahun berlalu, adakah Malaysia sedia berdepan serangan ala 11/9?

Pakar tidak menolak wujud percubaan untuk meniru serangan terhadap bangunan berkembar New York pada 2001, namun percaya Malaysia lebih bersedia ketika ini.

Other News

20 tahun selepas peristiwa serangan pengganas terhadap menara berkembar Pusat Dagangan Dunia yang mengorbankan hampir 3,000 orang di New York pada 11 September 2001, seorang pakar tidak menolak Malaysia juga berdepan ancaman sama berdasarkan pengalaman dan persamaan struktur bangunan tersebut.

Pakar anti keganasan dari Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Mohd Mizan Mohammad Aslam berkata serangan berskala kecil sudah beberapa kali dilaporkan dalam negara.

Beliau memetik pengeboman kilang Carlsberg di Petaling Jaya dan pembakaran kuil di Batu Caves.

“Kita juga mempunyai beberapa ciri persamaan (dengan Amerika Syarikat) dari segi bangunan pencakar langit ikonik seperti Menara Berkembar Kuala Lumpur (KLCC) dan TRX. Jadi, ia juga dianggap sebagai satu kemungkinan,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Apabila melihat corak serangan ini, maknanya serangan kecil boleh berlaku, maka tidak mustahil serangan berskala besar juga boleh berlaku.”

Malaysia memiliki struktur bangunan pencakar langit yang mirip dengan bangunan di Amerika Syarikat.

Pada 2001, serangan yang berlaku apabila 19 orang merampas empat pesawat penumpang dengan dua daripadanya merempuh menara berkembar Pusat Dagangan Dunia (WTC) di New York manakala pesawat ketiga dilaporkan merempuh Pentagon, mengorbankan 184 orang.

Manakala pesawat keempat terhempas di sebuah padang di Shanksville, Pennsylvania, menyebabkan kematian 40 orang.

Malaysia makin bersedia selepas 20 tahun

Mizan berkata peristiwa itu memberi impak signifikan terhadap Malaysia apabila ia membuka mata kerajaan dan pihak keselamatan negara supaya lebih bersedia berdepan dengan ancaman serupa.

Katanya, dalam tempoh 20 tahun sejak peristiwa itu, penambahbaikan terhadap pasukan keselamatan khususnya Bahagian Anti Pengganas (E8) di bawah cawangan khas polis agak ketara dari segi saiz jabatan dan tenaga kerja.

“Sebelum 11 September 2001, ancaman keganasan dilihat pada skala kecil dan lebih kepada skala tempatan. Malah, saiz unit E8 pada masa itu amat jauh beza daripada sekarang,” kata Mizan yang merupakan penulis beberapa buah buku dan penerbitan mengenai bidang ini termasuk “Typology of Radicalism” terbitan Perlis Press pada 2012.

“Justeru, selama 20 tahun, seperti berlaku perubahan paradigma yang besar kepada pihak keselamatan negara, dari segi logistik, tenaga kerja, dan kepakaran tenaga.”

Menurut Mizan, pasukan keselamatan negara pastinya sudah mengambil kira ancaman dari pandangan sudut itu dan melakukan pelbagai siri latihan supaya sentiasa bersedia.

“Pada pandangan saya, kita bersedia untuk hadapi segala ancaman sebegini, tetapi ia tidak boleh dielak sepenuhnya. Kita mungkin bersedia dari segi aliran masuk senjata api atau bahan letupan.

“Namun ia mungkin sukar sedikit apabila melibatkan serangan secara ‘lone wolf’ (bersendirian) terutama menggunakan senjata bukan tradisi seperti memandu kenderaan di kawasan sesak dan melanggar orang ramai,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, antara ketegasan polis dalam menangani isu membabitkan ancaman ini jelas kelihatan dengan cara pendekatan mereka iaitu menahan individu yang disyaki mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas.

“Ini menunjukkan polis pandang serius terhadap potensi ancaman pengganas.

“Walaupun ada kaitan sedikit, mereka terus tahan dan lakukan pemutihan serta-merta,” katanya.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles