- Iklan -
Berita

Zuraida mahu KDN, JPN laksana segera keputusan mahkamah berhubung kewarganegaraan

Zuraida berkata keputusan mahkamah semalam memberikan hak kaum ibu sama rata dengan hak kaum bapa seperti mana yang merupakan nilai-nilai masyarakat antarabangsa.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Zuraida Kamaruddin. Gambar: Bernama
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Zuraida Kamaruddin. Gambar: Bernama

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Zuraida Kamaruddin hari ini menyambut baik penghakiman Mahkamah Tinggi yang membenarkan kewarganegaraan automatik kepada anak wanita warga Malaysia kelahiran luar negara dengan pasangan warga asing dan turut menggesa kerajaan segera melaksanakan keputusan tersebut.

Zuraida, yang juga merupakan presiden Majlis Pemimpin Politik Wanita Malaysia (Comwel) berkata keputusan tersebut secara langsung memberikan hak kaum ibu sama rata dengan hak kaum bapa seperti mana yang diterima secara universal, dan yang menjurus kepada nilai-nilai masyarakat antarabangsa..

“Seperti mana yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi, keputusan ini tidak melibatkan sebarang perubahan dasar kerana undang-undang yang sedia ada sememangnya memelihara keluhuran Perlembagaan Persekutuan.

“Walau bagaimanapun, kementerian dalam negeri dan Jabatan Pendaftaran Negara kini perlu segera menginstitusikan dan melaksanakan keputusan tersebut dengan merangka prosedur permohonan kewarganegaraan selaras dengan keputusan ini,” katanya dalam sebuah kenyataan.

Saman tersebut difailkan kumpulan hak asasi Family Frontiers dan enam wanita warga Malaysia yang berkahwin dengan lelaki warga asing, pada 18 Disember tahun lalu.

Mereka menuntut enam perintah mahkamah termasuk pengisytiharan Artikel 8 (2) Perlembagaan Persekutuan yang dibaca bersama dengan Artikel 14 (1) (b) Perlembagaan Persekutuan yang tidak bercanggah dengan Bahagian (1) (b) Bahagian II Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan bagi memasukkan bayi kepada ibu warga Malaysia yang dilahirkan di luar negara boleh mendapat kerakyatan secara automatik.

Dalam penghakiman semalam, hakim Akhtar Tahir memutuskan wanita warga Malaysia yang berkahwin dengan pasangan asing memiliki hak yang sama dengan lelaki warga Malaysia yang berkahwin dengan pasangan asing untuk mendapatkan kewarganegaraan Malaysia bagi anak mereka yang lahir di luar negara.