- Iklan -
Berita

Pengundi Melayu utamakan kelangsungan hidup, bukan reformasi institusi, kata kajian

Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisommudin Bakar berkata hasil kajian menunjukkan reformasi institusi adalah dominan kepada aspek ekonomi dan pendidikan berbanding yang lain.

Azzman Abdul Jamal
2 minit bacaan
Kongsi

Pengundi Melayu mengutamakan kelangsungan hidup berbanding reformasi institusi walaupun terbuka dengan idea tersebut, menurut kajian dilakukan badan tinjauan bebas, Ilham Centre.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisommudin Bakar berkata hasil kajian menunjukkan reformasi institusi adalah dominan kepada aspek ekonomi dan pendidikan berbanding yang lain.

“Isu ‘bread and butter’ mengatasi segalanya. Pertimbangan utama orang melayu dalam memilih pilihan yang ada dalam hidup, mereka akan utamakan aspek kelangsungan hidup mereka,” katanya pada satu sidang media secara dalam talian hari ini.

“Jika merujuk kepada agenda seperti reformasi institusi Parlimen, kerajaan (pentadbiran, kehakiman, media, pilihan raya dan lain-lain, tema itu terlalu jauh dari kehidupan mereka.”

Beliau berkata, perkara itu dibuktikan menerusi maklum balas survei terhadap 1,262 responden Melayu yang dipilih secara persampelan rawak berstrata serta 93 peserta yang terlibat dalam perbincangan kumpulan.

Bagaimanapun Ilham Centre tidak mengadakan kajian sama terhadap pengundi bukan Melayu bagi mengetahui sentimen mereka terhadap isu berkaitan reformasi institusi.

Merujuk kepada soalan institusi paling utama perlu dilakukan pembaharuan, Hisommudin berkata, 32% responden berpendapat fokus harus diberikan kepada ekonomi dan pendidikan diikuti urus tadbir kerajaan (27%), Parlimen (13%), kehakiman (7%) dan lain-lain (12%).

“Ini diperkukuhkan lagi apabila 31% responden berpendapat bahawa pembaharuan yang perlu diberi keutamaan pada waktu ini ialah merangka strategi membasmi kemiskinan dan menangani kos sara hidup rakyat.

“Ia diikuti dengan 29% responden berpendapat bahawa keutamaan perlu diberi terhadap meningkatkan kembali ekonomi rakyat.

“Ia juga kerana pernyataan berkaitan reformasi institusi yang dikait rapat dengan gerakan politik berbanding nilai sebenar pembaharuan yang hendak dilakukan,” tambahnya.

Dalam pada itu, kajian itu merumuskan bahawa idea pelaksanaan reformasi perlu mengambil kira keselesaan masyarakat Melayu-Muslim sebagai golongan majoriti di Malaysia.

“Mana-mana pihak yang mahu menjayakan agenda reformasi institusi, perlu memahami nilai, budaya, bahasa, norma, demografi dan psikografi bagi menguruskan sentimen, mendapatkan kepercayaan dan sokongan orang Melayu,” katanya.