- Iklan -
Berita

Keharmonian istana-kerajaan sejarah lama, kata bekas ketua hakim

Hamid berkata alasan sebenar beberapa pindaan kuasa-kuasa raja yang diusahakan kerajaan Mahathir adalah tidak jelas.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Pemandangan Istana Negara. Gambar: Bernama
Pemandangan Istana Negara. Gambar: Bernama

Bekas ketua hakim negara,Abdul Hamid Mohamad berkata sistem raja berperlembagaan berfungsi dengan harmoni selama empat dekad dengan badan eksekutif dan Raja-raja Melayu menjalankan peranan dalam ruang lingkup tugas mereka, namun perkara tersebut berubah ketika pentadbiran Dr Mahahthir Mohamad yang memperkenalkan beberapa pindaan untuk mengurangkan kuasa-kuasa raja.

Hamid berkata alasan sebenar beberapa pindaan kuasa-kuasa raja yang diusahakan kerajaan Mahathir itu adalah tidak jelas.

“Orang yang paling tahu hal itu adalah Mahathir kerana beliaulah perdana menteri pada masa Perlembagaan dipinda untuk menubuh mahkamah itu,” kata Hamid dalam analisis baru-baru ini mengenai hubungan antara kerajaan dan monarki sejak setahun lalu, ia turut mengkritik Yang di-Pertuan Agong berikutan beberapa tindakan yang disifatkan sebagai campur tangan politik.

Anwar yang merupakan timbalan perdana menteri Mahathir pada 1990-an sebelum dipecat pada 1998 adalah antara pendesak dalam usaha mengurangkan kuasa Raja-Raja Melayu.

Mereka turut memasukkan pindaan Perlembagaan di mana sebarang rang undang-undang yang diluluskan Parlimen boleh menjadi akta secara automatik selepas 30 hari walaupun tidak mendapat perkenan Agong selain penubuhan mahkamah khas untuk membicarakan kes-kes jenayah dan kommersial Raja-Raja Melayu.

Hamid bersara sebagai ketua hakim negara pada 2008 selepas lima dekad berkhidmat dalam badan kehakiman negara.

Beliau juga pernah mengetuai perbicaraan khas melibatkan Raja Negeri Sembilan ketika itu, Almarhum Tuanku Ja’afar Tuanku Abdul Rahman, di mana beliau mengarahkan bekas Agong tersebut membayar sebanyak AS$1 juta kepada plaintif, sebuah bank komersial.

Ulasan Hamid itu adalah sebahagian daripada analisis setebal 11 halaman yang ditulis bagi mengkritik beberapa tindakan dan kenyataan Raja-Raja Melayu pada tahun lepas, termasuk situasi kelompongan kuasa pentadbiran negara yang berakhir dengan pelantikan Ismail Sabri Yaakob sebagai perdana menteri.

Beliau berkata Raja-Raja Melayu berjaya keluar daripada perang dunia kedua dengan kekal berdiri sebagai institusi berbanding apa yang dialami India dan Indonesia yang menggulingkan raja-raja feudal mereka.

Beliau berkata perkara ini berlaku adalah kerana pemimpin-pemimpin Umno ketika era British berjuang untuk mempertahankan Raja-Raja Melayu, dan seterusnya menyaksikan sistem raja berperlembagaan diamalkan selepas Merdeka.

“Sistem raja berperlembagaan itu berjalan dengan licin selama lebih kurang 40 tahun dengan raja dan kerajaan hormat menghormati antara satu sama lain, masing-masing melaksanakan tugas masing-masing seperti yang diperuntukkan oleh Perlembagaan.

“Kerajaan berunding dengan raja di mana ia dikehendaki berunding. Raja mengikut nasihat kerajaan di mana baginda dikehendaki berbuat demikian,” kata Hamid.

Bagaimanapun, beliau berkata hubungan tersebut berubah dengan beberapa pindaaan Perlembagaan yang berkuat kuasa di mana seorang Raja Melayu perlu menerima nasihat kerajaan.

Beliau berkata penolakan istana untuk tidak akur dengan nasihat kerajaan ditunjukkan pada tahun lalu ketika Agong menolak untuk mengisytiharkan darurat yang disyorkan perdana menteri waktu itu, Muhyiddin Yassin.


Baca: Istana bertindak di luar perlembagaan, beri persepsi campur tangan politik, kata bekas ketua hakim


Beliau berkata tindakan tersebut disusuli beberapa tindakan lain oleh Agong yang bertindak melebihi bidang kuasanya dan peruntukan Perlembagaan.

Beliau membandingkan perkara tersebut dengan penolakan istana untuk memberi perkenan kepada beberapa rang undang-undang yang di Dewan Rakyat sambil menambah perkara tersebut menjawab pertanyaan mengapa kuasa-kuasa Raja Melayu dikurangkan.

“Di sekitar 1984, mulalah timbul masalah yang berbangkit daripada keengganan Raja menandatangani rang undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen, menyebabkan pindaan kepada Perkara 40 dan 66 terpaksa dibuat,” kata Hamid.

“Tahun-tahun 2020 dan 2021 memperlihatkan tindakan-tindakan di luar Perlembagaan yang menjadikan sesuatu yang mudah itu susah,” katanya.