- Iklan -
Berita

AS tamatkan larangan terhadap Top Glove

Jabatan kastam AS berkata syarikat itu tidak lagi perlu kekalkan laporan penemuan sebelum ini yang menyaksikan larangan eksport dikenakan terhadap Top Glove berhubung dakwaan buruh paksa.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Pekerja kilang Top Glove memeriksa produk sarung tangan di kilang syarikat itu. Gambar: Bernama
Pekerja kilang Top Glove memeriksa produk sarung tangan di kilang syarikat itu. Gambar: Bernama

Syarikat pembuatan sarung tangan Top Glove dibenarkan untuk mengeksport semula dan menjual produknya ke Amerika Syarikat (AS) selepas sebelum ini dilarang berikutan dakwaan salah laku melibatkan amalan buruh paksa.

Dalam penemuan terbarunya, Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan AS (CBP) berkata ia tidak perlu lagi mempertahankan keputusan pada Mac lalu untuk menyekat produk Top Glove di pelabuhan-pelabuhan AS.

“Sekarang CBP yakin berdasarkan maklumat tambahan, barang-barang dagangan tersebut tidak lagi, atau berkemungkinan, diimport ke AS dengan pelanggaran Seksyen 307 Akta Tarif 1930, seperti dalam pindaan,” katanya.

Pada 15 Julai 2020, CBP mengeluarkan perintah sekatan bagi produk sarung tangan pakai buang syarikat itu yang menurutnya “telah secara munasabah” dibuat oleh buruh paksa di Malaysia melalui Top Glove.

Ia berkata pemeriksaan menemui maklumat yang cukup untuk menyokong penemuan tersebut.

Sekatan serupa juga berulang pada 29 Mac tahun ini.

“Sejak itu, Top Glove telah memberikan maklumat tambahan kepada CBP, di mana CBP percaya telah memberikan bukti memuaskan bahawa saruang tangan pakai buang itu tidak lagi dibuat, dihasilkan, atau dikilangkan oleh sebarang buruh paksa,” katanya.

Dalam satu kenyataan, Top Glove menyatakan penghargaan bagi pindaan penemuan CBP tersebut yang berkuat kuasa hari ini.

“Top Glove tetap komited mengenai kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan pekerjanya,” katanya.

“Syarikat akan terus bekerja keras untuk menjadi peneraju industri di bidang ini dan memenuhi harapan para pemegang kepentingan syarikat yang semakin meningkat.”