- Iklan -
Berita

Tiada usul undi percaya, tiada kerjasama, kata DAP

Menurut veteran DAP itu, usaha perbekalan dan sokongan di Dewan Rakyat antara pembangkang dan kerajaan akan tergugat jika tidak ada usul undi percaya di Parlimen.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Veteran dan Penasihat DAP Lim Kit Siang. Gambar: AP
Veteran dan Penasihat DAP Lim Kit Siang. Gambar: AP

Veteran DAP Lim Kit Siang hari ini menegaskan keperluan untuk mengadakan undi percaya di sidang Dewan Rakyat minggu depan, mengatakan jika Ismail Sabri Yaakob gagal membentangnya ia bermaksud kerjasama bersama pembangkang tidak dapat dilaksanakan.

Dalam sebuah kenyataan, Lim berkata usul undi percaya adalah “kedudukan sebenar pendirian Perlembagaan” walaupun semalam didedahkan Agong telah memaklumkan kepada perdana menteri bahawa usul undi percaya tidak lagi perlu dibentangkan di Dewan Rakyat.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata pelantikan perdana menteri oleh Yang di Pertuan Agong dan hal undi percaya di Parlimen adalah “dua perkara yang berbeza sama sekali walaupun berkaitan antara satu sama lain.”

Beliau turut memetik bekas haki Hamid Sultan Abu Backer yang mengatakan Agong boleh bergantung kepada akuan bersumpah dan temu ramah bersama ahli-ahli Parlimen dalam melaksanakan tanggungjawab mengikut peruntukan Perkara 40(2) Perlembagaan Persekutuan untuk melantik seorang perdana menteri.

“Manakala Perkara 43(3) Perlembagaan yang memperuntukkan bahawa perdana menteri perlulah meletakkan jawatannya sekiranya beliau tidak mempunyai sokongan majoriti adalah perkara yang perlu ditentukan oleh Parlimen,” katanya lagi.

Beliau berkata punca kenapa Ismail tidak mahu membentangkan usul undi percaya tersebut adalah kerana beliau bimbang tidak mendapat sokongan 114 ahli Dewan Rakyat dalam sidang akan datang walaupun mereka sebelum ini telah menyatakan sokongan mereka kepada Ismail.

“Ismail bimbang beliau tidak mendapat sokongan 114 Ahli-ahli Parlimen dalam sidang Parlimen akan datang walaupun mereka sebelum ini telah menyatakan sokongan mereka kepada Ismail Sabri dalam akuan bersumpah mereka dan mengesahkan sokongan mereka untuk Ismail menjadi Perdana Menteri baharu selepas sesi temu ramah mereka bersama Yang di Pertuan Agong pada 20 Ogos 2021.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata Agong telah memaklumkan kepada Ismail bahawa usul undi percaya tidak perlu lagi dibentangkan di Dewan Rakyat.

Junaidi menambah 114 dari 220 ahli Parlimen menyuarakan sokongan kepada Ismail, mengatakan tidak mungkin mereka akan mengubah pendirian mereka terlalu cepat.

Pendedahan tersebut tampil selepas dua hari pemimpin PH menggesa Idrus meletakkan jawatan, mengatakan beliau “mengkhianati Perlembagaan Persekutuan dan sistem demokrasi berparlimen.”

Ketiga-tiga pemimpin PH itu merujuk kenyataan Istana Negara pada 18 Ogos lalu, sebelum Agong mengesahkan lantikan Ismail sebagai perdana menteri.

Bagaimanapun, istana tidak mengulangi syarat tersebut ketika ia mengumumkan Ismail mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat pada 20 Ogos lalu, susulan Mesyuarat Raja-Raja Melayu yang dipengerusikan Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Lim hari ini turut membayangkan ketiadaan usul undi percaya bermaksud kerjasama antara pambangkang dan kerajaan “kini tergugat dan berhadapan dengan nasib yang tidak menentu.”

“Tidak ada sebarang ragu-ragu yang kemungkinan mencipta sejarah politik dengan perjanjian kepercayaan-perbekalan-reformasi di antara pihak kerajaan dan pembangkang supaya semua orang dapat menumpukan usaha kepada memenangi perang melawan Covid-19 kini tergugat dan kita hanya mampu menunggu dan lihat sama ada perjanjian ini masih dapat diselamatkan sebelum Parlimen bersidang Isnin depan.”